Cadang bayi baru lahir pakai barcode, elak tertukar – Rina Harun

0
2

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mencadangkan setiap bayi yang baru dilahirkan perlu dipakaikan gelang ‘barcode’ (Kod QR) yang mengandungi maklumat penuh ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, cadangan itu antara insiatif yang boleh dilaksanakan hospital bagi mengelak insiden bayi tertukar yang terjadi baru-baru ini daripada berulang.

Selain itu, katanya, saringan dan pemeriksaan yang lebih terperinci juga seharusnya dilakukan pihak hospital sebelum menyerahkan bayi kepada ibu masing-masing.

“Saya berharap agar semua pihak terlibat mengambil iktibar akan kejadian ini, dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan agar peristiwa sebegini tidak berulang.

“Malah, saya juga menyarankan agar ibubapa sentiasa menyemak maklumat bayi yang diserahkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab ibubapa jua,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Rina berkata, beliau berkesempatan melawat ibu kepada bayi yang tertukar berkenaan di sebuah hospital swasta semalam.

“Saya amat memandang serius perkara ini, dan ia perlulah dielakkan dari terjadi kepada mana-mana ibu pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, saya melihat keadaan mereka kelihatan stabil meskipun masih trauma dengan kejadian yang telah dilalui. Bagi mengurangkan rasa trauma tersebut, saya menawarkan khidmat kaunseling serta bimbingan emosi untuk mereka.

“Di samping itu, saya tawarkan juga penjagaan selepas bersalin oleh Mamacare kepada kedua-dua ibu tersebut. Saya telah sampaikan sumbangan berupa barangan bayi kepada mereka,” katanya.

Rina berkata, walaupun sumbangan berkenaan mungkin tidak seberapa nilainya, namun beliau berharap ia dapat mengembalikan keceriaan kepada dua ibu berkenaan.

Baru-baru ini, usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall dan suaminya berdepan saat mencemaskan apabila menyedari bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi lain.

Kejadian itu dikongsikan wanita itu melalui satu perkongsian di Facebook (FB) Live bermula jam 7.40 malam Ahad lalu.

Siti Suriani berkata, beliau melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, sebelum pihak hospital membenarkan dia serta bayinya pulang ke rumah, hari ini .

Bagaimanapun, dia menyedari bayi itu bukan anak mereka ketika suaminya yang mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu mendapati ia milik wanita lain dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/13/siti-jamumall-cemas-bayi-tertukar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here