MAIS peruntuk RM2 juta bantu 20,000 keluarga terkesan Covid-19

0
1
Muhammad Farid Nahur Yusof, 12 (kiri) sedang menjual kuih-muih dan nasi lemak kepada penduduk-penduduk flat Sri Perak memandangkan sekolah tutup pada PKPB di Lembah Klang.

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan RM2 juta bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ini terutama golongan B40, mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau hilang punca pendapatan.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sehingga kini pihaknya telah mengagihkan sumbangan kepada 15,418 keluarga penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM1,514,800.

Katanya, ia diperoleh dari peruntukan agihan fidyah MAIS sejak Program Agihan Fidyah MAIS dilancarkan pada 28 Disember 2020.

“Sumbangan berupa pek barangan makanan kepada pemohon yang layak, dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah terlibat.

“RSAFM berperanan membantu mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka yang memerlukan dan membantu pengagihan fidyah MAIS.

“MAIS berharap sumbangan diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban ditanggung setiap ketua keluarga yang terkesan bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan seharian mencukupi, terutama dalam tempoh Perintah Kawalam Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, MAIS mengajak umat Islam di Selangor yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan memerlukan bekalan makanan asasi untuk menyertai Program Sumbangan Agihan Fidyah MAIS dengan menghubungi mana-mana Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS.

“Sekiranya terdapat masalah dan kemusykilan berkaitan permohonan bantuan agihan fidyah MAIS, pemohon boleh merujuk pegawai urusetia Agihan Fidyah MAIS (AFM) iaitu Ustazah Hafizatul Akmal binti Abd Jalil di talian 019-264 6277 atau Puan Amirah Addilah Mohd Johari di talian 017-327 2069,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here