Covid-19 tidak kurangkan usaha cegah denggi

0
1

USAHA memerangi wabak demam denggi masih diteruskan walaupun negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata demam denggi adalah endemik dan menjadi beban kesihatan awam negara sejak sekian lama.

Menurutnya, setakat 12 Jun lalu kes demam denggi menunjukkan trend penurunan sebanyak 75 peratus dan jumlah kematian juga menunjukkan penurunan sebanyak 91 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bermula Januari hingga 12 Jun lalu sebanyak 12,188 kes demam denggi dilaporkan dan membabitkan lapan kematian berbanding 48,584 kes dan 84 kematian bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun menunjukkan penurunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengajak masyarakat untuk terus berusaha membendung dan memusnahkan tempat penbiakan Aedes secara konsisten dan tanpa kompromi.

“Pada tahun ini, ’10 Minit Hapusian Aedes’ adalah tema bagi sambutan Hari Denggi Asean peringkat Kebangsaan.

“Melalui pendekatan tema ini, masyarakat perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat penbiakan Aedes setiap minggu di premis masing-masing,” katanya.

Menurutnya, sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masyarakat banyak meluangkan masa di rumah dan kesempatan itu perlu diambil untuk memastikan premis bebas dari tempat pembukaan nyamuk Aedes.

Katanya, usaha pencegahan demam denggi juga diperkasakan melalui pembabitan pasukan sukarelawan Combi di seluruh negara yang berperanan menjalankan aktiviti promosi pencegahan denggi dengan pendekatan norma baharu seperti media sosial.

“Sehingga 31 Mei 2021 terdapat sebanyak 3,084 pasukan Combi dengan penyertaan sebanyak 28,381 sukarelawan terdiri dari komuniti seluruh negara.

“KKM mengucapkan terima kasih atas komitmen bersepadu semua pihak termasuk masyarakat dalam usaha berterusan menangani penularan demam denggi dan berharap ia diteruskan demi memastikan rakyat dapat nikmati tahap kehidupan berkualiti bebas dari ancaman denggi,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: MyHEALTH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here