
KERAJAAN wajar mempertimbang, mempercepatkan dan mendahulukan pemberian vaksin kepada golongan penunggang penghantar makanan dan barangan mengunakan motosikal.
Ia melibatkan GrabFood, Foodpanda, BungkusIT, Lalamove serta semua rider (p-hailing).
Pengerusi dan Pengasas Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata ia bagi membela kebajikan serta tahap kesihatan golongan terbabit memandangkan kerjaya mereka terdedah kepada risiko jangkitan.
Ini katanya, terutama ketika kes harian Covid-19 yang tinggi ketika ini.
“Mereka ini juga diiktiraf sebahagian dari petugass barisan hadapan yang bertugas menghantar makanan dan barangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga PKP 3.0.
“Perkara ini perlu diutamakan kerana kini golongan p-hailing kurang diberi perhatian bagi tujuan pemberian vaksin ketika ini.
“PPJK juga melihat bagaimana kita hendak membela nasib mereka yang terlibat dalam tugasan seharian
sebagai penunggang p-hailing ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menambah, sepanjang tempoh PKP ini mereka bertungkus-lumus menghantar makanan serta barangan mengikut keperluan pelangan.
Katanya ketika ini dianggarkan terdapat kira-kira 100,000 orang terlibat dalam bidang tersebut terdiri golongan muda dan belia. – Malaysiapost
