SEBANYAK 1,328 KLUSTER tempat kerja direkodkan setakat hari ini, di mana seramai 624,246 individu telah disaring dengan 147,040 daripadanya disahkan positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun tren kes mingguan menunjukkan penurunan dalam dua minggu ini, namun tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kluster baharu di Malaysia.
“Kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus).
“Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu 95,156 kes melibatkan 639 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenainya, Dr. Noor Hisham juga menghargai usaha berterusan majikan dalam menjalankan ujian saringan ke atas pekerja sebagai langkah awal bagi membendung penularan jangkitan di tempat kerja.
“KKM telah menetapkan pelbagai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pekerja yang hadir ke tempat kerja dan sebagainya.
“Bagaimanapun, didapati tahap kesedaran berkenaan kepentingan pelaksanaan SOP tersebut masih perlu dipertingkatkan.
“Masyarakat khususnya majikan dan pekerja perlu menyedari kepatuhan kepada garis panduan adalah untuk kebaikan mereka juga,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, masih terdapat segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan.
“Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 terutama di tempat kerja.
“Penguatkuasaan SOP di tempat kerja wajar dipertingkatkan dalam usaha untuk terus mengekang jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan kluster di tempat kerja,” katanya. – Malaysiapost

