
Nilam Oshman
KERAJAAN diharap dapat menambah bantuan untuk peniaga pasar malam yang dilarang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘Total Lockdown’ bagi meneruskan kehidupan.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak berkata beliau bersyukur kerana kerajaan prihatin dengan menyalurkan Geran Khas Prihatin (GKP) melalui Program bantuan PEMERKASA Tambahan (PEMERKASA Plus) sebanyak RM1,500.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kerisauan kerana PKP dilanjutkan lagi bermula esok sehingga 28 Jun dan jumlah yang diberikan itu hanya mampu bertahan dalam tempoh dua minggu bagi tempoh dua minggu pertama Total Lockdown sahaja.
“Sebenarnya bantuan yang diberikan baru-baru ini ikutkan cukup jika digunakan untuk dua minggu, namun PKP 3.0 dilanjutkan justeru bagi menampung hidup untuk sebulan ini memang tak mencukupi.
“Contoh seperti saya, dalam dua atau tiga hari, sekurang-kurangnya RM100 mesti habis beli barang keperluan seperti ayam, sayur dan ikan. Jadi bayangkan kalau untuk perbelanjaan sebulan macam mana.
“Ketika lockdown ini memang terpaksa duduk rumah, apa lagi boleh buat… jadi, kalau boleh minta tambahan bantuan, jika tak dapat harap boleh buka pasar… pasar malam jadi pasar petang,” katanya kepada Malaysiapost.
Beliau sepanjang tempoh Total Lockdown, pasar malam tidak dibenarkan beroperasi dan pihaknya berharap ia ditukar kepada pasar petang dari jam 3 petang hingga 7 malam.
“Lagipun, pasar pagi boleh dibuka… jadi diharapkan kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pasar petang.
“Peniaga pasar malam ini dapat duit ketika meniaga… tak meniaga mana nak dapat sumber pendapatan,” katanya.
Pada 31 Mei lalu, kerajaan bersetuju memberikan GKP sebanyak RM1,500 melalui Pemerkasa PLUS.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu akan membantu kira-kira sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan pengurusan aliran tunai.
“Mereka akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 selebihnya akan disalurkan pada Julai,” katanya. – Malaysiapost
