Steven selar Perak beri telefon ‘cikai’ kepada pelajar

0
1

AHLI Parlimen DAP, Steven Sim menyelar tindakan kerajaan Perak kerana memberi sumbangan telefon pintar ‘cikai’ kepada pelajar golongan B40 di negeri itu.

Menerusi ciapan di Twitter miliknya, Steven menyifatkan tindakan memberi telefon pintar berkualiti rendah itu satu penghinaan kepada golongan miskin.

Malah, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu membidas alasan kerajaan negeri yang mengakui ianya bagi mengelakkan pelajar terjebak dengan bermain ‘game’ daripada menggunakan telefon pintar itu untuk tujuan pembelajaran.

“Jangan hina orang miskin! Kalau hang dari mula sudah bersangkaan buruk, baik jangan bagi!,” ciapnya, hari ini.

Minggu lalu, tular di media sosial video dimuat naik seorang YouTuber mendakwa telefon pintar dibekalkan syarikat telekomunikasi yang menjadi rakan strategik bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) tidak berkualiti termasuk dari segi kamera, jangka hayat bateri dan tidak sesuai bagi pemasangan perisian tertentu.

Bagaimanapun, media melaporkan hari ini kerajaan Perak mengakui pengedaran 20,000 telefon pintar kepada pelajar dari keluarga B40 bagi program TCS adalah dikhususkan untuk pembelajaran semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud menjelaskan, setidak-tidaknya dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan peranti terbabit bagi tujuan seperti bermain permainan video.

“Suka untuk saya maklumkan, selepas menelusuri kajian penggunaan peranti sebelum ini, ia disediakan hanya khusus untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuk melalui aplikasi pembelajaran dinamakan ‘Frog Play’.

“Iaitu aplikasi yang mengandungi pelbagai kuiz ulang kaji untuk semua mata pelajaran teras yang diajar di sekolah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam yang dapat diakses 24 jam sehari.

“Tetapi, sekiranya pelajar merungut telefon diberikan ini perlahan atau kualitinya tidak baik, saya percaya mungkin pelajar menggunakannya untuk bermain game dalam talian dan sebagainya memandangkan prestasi peranti ini sememangnya akan terjejas jika dipasang dengan aplikasi berat seperti ‘game’,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here