LELAKI yang tular selepas dirakam menyeret seekor kucing di atas jalan di Langkap, Teluk Intan, Perak ketika menunggang motosikal pada 3 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini.
Tertuduh, Azizul Salahuddin, 46, mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan iaitu dengan menyeret kucing di atas jalan.
Azizul bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Attaduri, Langkap pada jam 6.30 petang, 3 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan.
Jika sabit kesalahan Azizul berdepan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Azizul sebelum ini ditahan polis ketika hadir di balai polis pada 4 Jun lalu, selepas video dirinya dirakam menyeret kucing sambil menunggang motosikal tular di media sosial. – Malaysiapost

