Apa guna darurat jika tak dapat bantu rakyat? – Pemuda Umno

0
1

PEMUDA Umno hari ini mempersoalkan kewajaran kerajaan untuk meneruskan proklamasi Darurat yang bakal berakhir 1 Ogos ini sekiranya ia tidak dapat membantu rakyat.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan sewajarnya menggunakan Ordinan Darurat dalam tempoh berbaki sebulan setengah ini untuk kepentingan rakyat.

“Pada 23 Oktober lalu Kerajaan Tan Sri Muhyiddin mencadangkan Darurat kali pertama kepada Yang di-Pertuan Agong namun ditolak (setelah diadakan Perjumpaan Khas antara Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu).

“Kali kedua, 12 Januari lalu Kerajaan Tan Sri Muhyiddin mencadangkan Darurat atas alasan Covid-19, akhirnya Tuanku Yang di-Pertuan Agong perkenan.

“Isunya sekarang apakah kewajaran untuk Darurat yang bakal berakhir 1 Ogos 2021 ini diteruskan ataupun tidak?,” soalnya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, satu perjumpaan khas Majlis Raja-Raja akan diadakan Rabu ini yang antara lain bagi membincangkan isu Covid-19.

“Apakah Darurat berjaya menyeleaikan isu penularan Covid-19?Apakah Darurat benar-benar dapat membantu rakyat sebagaimana didakwa Kerajaan PN? dan apakah wajar Darurat diteruskan selepas 1 Ogos ini?,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno komited mengulangi pendirian mendesak kerajaan menggunakan tempoh darurat ini menawarkan bantuan kepada rakyat antaranya moratorium tanpa faedah termasuk untuk M40.

“Kerajaan juga perlu mengarahkan KWSP (membenarkan) untuk rakyat akses kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0

“Selain itu, mengawal harga barang keperluan asas rakyat yang naik mendadak di kala pandemik,” katanya.

Kelmarin, kerajaan memberi jaminan akan mengikut semua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara di dalam membuat sebarang keputusan berkaitan darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong Baginda, tidak seharusnya timbul. – Malaysiapost\

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here