SEBUAH lori yang membawa kira-kira 40 warga asing memakai gelang merah jambu tular di media sosial hari ini.
Rakaman foto dan video yang dimuat naik di media sosial itu memaparkan kesemua penumpang yang berdiri dalam lori terbabit memakai gelang kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Difahamkan, kesemua mereka adalah pekerja di sebuah kilang yang disahkan positif Covid-19 dibawa menaiki lori ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berikutan video berdurasi 19 saat yang tular kira-kira jam 5 petang, pihaknya bertindak mengesan lori bersama individu terbabit serta-merta.
Menurutnya, hasil tindakan pantas polis berjaya mengesan dan menahan mereka berdekatan kawasan Sungai Lalang semasa dalam perjalanan pulang dari PKD Kuala Muda di Sungai Petani menuju ke asrama kilang terbabit di Sungai Lalang.
Polis berjaya mengesan lori yang dikatakan membawa sekumpulan warga asing memakai gelang merah jambu di Sungai Lalang, Kedah.
“Hasilnya, seramai 48 orang kes positif berada dalam lori tersebut dalam keadaan tangan memakai gelang kuarantin,” katanya dalam kenyataan.
Adzli berkata, sebelum ini, KKM telah mengesan kes positif Covid-19 menerusi Kluster Dah Bukit Makmur membabitkan sebuah kilang di Sungai Lalang di mana lokasi mereka bekerja.
“Lanjutan daripada itu, pihak PKD Kuala Muda telah mengarahkan seramai 135 pekerja kilang untuk hadir bagi tujuan siasatan dan mengenakan gelang kuarantin.
“Seterusnya, pihak majikan telah mengatur sebuah lori khusus untuk membawa kesemua 135 kes positif dengan menggunakan tiga kali perjalanan dari asrama ke PKD.
“Semasa lori tersebut dalam perjalanan ke PKD Kuala Muda, video dan gambar tersebut telah dirakam orang ramai serta dimuat naik ke media sosial,” katanya. – Malaysiapost

