Pemimpin politik tolak MAGERAN takut hilang kuasa

0
2

“PEMIMPIN-pemimpin politik yang takut hilang kuasa akan menolak cadangan semangat penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk tubuhkan Majlis Pemulihan Negara,” kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan itu berkata, semua pihak sepatutnya bersabar dan menunggu penerangan terperinci dari Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai saranannya itu yang pada dasarnya tersimpang jauh dari pentadbiran ala otokratik.

Katanya, Bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai sebarang agenda kepentingan diri ketika usiaa sudah 95 tahun, selain hanya untuk kesejahteraan masa depan bangsa serta negara.

“Sekiranya diteliti secara betul-betul semua yang takut dengan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara adalah terdiri dari segelintir pemimpin-pemimpin politik yang ‘gila kuasa’ dan hanya mahu mencapai cita-cita kearah berpaut kepada kuasa secara mutlak demi kepentingan agenda politik sempit mereka,” katanya dalam skenyataan.

Beliau berkata, segelintir dari pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) sudah buat satu rumusan awal secara tidak tepat mengenai konsep pewujudan Majlis Pemulihan Negara kerana taksub menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya, Dr Mahathir hanya mengutarakan cadangan berkenaan mengikut semangat MAGERAN pada 1969 tetapi matlamatnya amat berbeza sama sekali.

“Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan Dr Mahathir tidak memudaratkan bangsa serta negara tetapi ianya akan menjadi satu landasan terbaik untuk membangunkan semula tanahair tercinta,” katanya.

Beliau berkata, ketika rakyat sedang menderita dan negara berada dalam situasi yang parah,semua pihak tidak harus berfikir untuk berebut kuasa dan semata-mata hendak menjadi perdana menteri.

“Yakini, sekiranya semua pihak mahu mencapai matlamat penubuhan Kerajaan Perpaduan maka asasnya harus bermula dengan semangat Mageran sepertimana Allahyarham Tun Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1971.

“Majlis Pemulihan Negara ini mempunyai matlamat yang sama ke arah mengwujudkan Kerajaan Perpaduan yang bakal membabitkan semua pihak bagi membina semula Malaysia Baharu demi kesejahteraan bangsa, negara serta agama.

“Segala-galanya akan bermula dari landasan semangat MAGERAN dengan penubuhan Majlis Pemulihan Negara ini yang bakal mencapai agenda bersama untuk memulihkan kemelut kesihatan, politik, ekonomi serta sosial,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here