Pelan pemulihan negara tuntut kerjasama semua pihak – PM

0
1
PUTRAJAYA, 29 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pengumuman lanjutan moratorium dan bantuan bersasar di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PERDANA Menteri berkata pelan pemulihan negara hanya akan berhasil sekiranya semua pihak meliputi rakyat dan kerajaan, berganding bahu mencari jalan keluar daripada pandemik Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelan itu, tidak mustahil Malaysia akan mencapai imuniti kelompok lebih awal dari tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, ‘exit plan’ itu sudah disusun sehingga ke peringkat negara mencapai imuniti kelompok.

“Pelan ini sudah kita susun, termasuklah mengambil kira proses vaksinasi dan usaha mencapai imuniti kelompok.

“Sekarang, bergantung pada rakyat dan kerajaan untuk mengikut peraturan dan prosedur operasi standad (SOP), termasuklah penguatkuasaan sepenuhnya. Jika pelanggaran berlaku, kes akan meningkat balik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas melawat klinik vaksinasi bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Johor, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan pelan pemulihan itu juga adalah satu cabaran besar kerana ia bergantung pada kerjasama semua pihak.

Katanya, pelan itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Menteri-menteri utama sudah duduk membentangkan perkara itu secara kasar dan pada dasarnya, ia baik tetapi perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata, ‘exit plan’ itu akan dibentangkan kepada rakyat secara fasa demi fasa sehingga usaha kerajaan dalam melandaikan jangkitan Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here