Pelan keluar pandemik dilaksana setelah capai imuniti kelompok

0
1
Sudut orang ramai menunggu giliran dan mengambil vaksin dan AstraZaneca di PWTC.

PELAN keluar pandemik Covid-19 boleh dilaksanakan apabila negara mencapai imuniti kelompok atau sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat negara ini divaksin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata vaksinasi rakyat bagi mencapai imuniti kelompok adalah keutamaan kerajaan ketika ini sebelum pelan keluar pandemik dapat dilaksanakan.

“Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas exit plan (pelan keluar pandemik) minggu hadapan. Mesyuarat itu adalah bagi memperincikan rancangan untuk negara keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara keseluruhannya.

“Namun paling utama ketika ini adalah vaksinasi rakyat. Jika kita boleh capai imuniti kelompok dengan segera seperti yang disasarkan atau sekurang-kurangnya selepas 60 peratus rakyat dapat vaksinasi jadi kita percaya perlahan-lahan negara boleh keluar PKP secara menyeluruh,” katanya.

Ismail Sabri membuat kenyataan itu selepas meninjau Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), hari ini.

Beliau juga sempat meninjau pembinaan Hospital Medan di HSA, menempatkan 64 katil bagi merawat pesakit Covid-19, sedang disiapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Turut hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara dalam tempoh seminggu akan datang sebagai persiapan untuk Malaysia keluar dari kemelut Covid-19.

Muhyiddin berkata, ‘exit plan’ itu adalah bersandarkan data serta sains yang diperoleh daripada sudut pengurusan pandemik, ekonomi dan vaksinasi negara. Pelan itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here