“Lockdown hanya sia-sia, jika tak serius” – Pemuda Umno

0
2
Suasana di sekitar bandaraya Kuala Lumpur malam terakhir sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) "Total Lockdown" ketika tinjauan Malaysiapost malam ini.

KERAJAAN perlu memandang serius kenyataan Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menekankan tempoh 14 hari akan datang amat kritikal untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan digesa untuk melaksanakan ‘total lockdown’ dengan serius kerana jika tidak usaha itu dibimbangi hanya yang sia-sia.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah memaklumkan bahawa tempoh 14 hari akan datang amat kritikal untuk memutuskan rantaian Covid-19 kerana keadaan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang semakin tenat,” katanya dalam Facebook.

Beliau berkata, selain menggesa rakyat untuk terus berdisiplin melaksanakan ‘self-lockdown’, kerajaan juga perlu serius laksanakan ‘total lockdown’.

Katanya, terlalu ramai meluahkan kebimbangan mereka kerana terpaksa bekerja berikutan banyak syarikat mahupun kilang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) walaupun bukan ‘essential’ untuk beroperasi.

“Justeru selain rakyat, harapnya menteri MITI juga ambil serius saranan Tan Sri KP Kesihatan ini,” katanya .

Dalam perkembangan lain, Asyraf meluahkan keresahan melihat Dr Noor Hisham dan Menteri di jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkontradiksi berkenaan isu darurat.

Katanya, menerusi kenyataan Dr Noor Hisham hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk teruskan Darurat ataupun tidak.

“Kemudian, Menteri Undang-Undang pula perbetulkan kenyataan itu bahawa hanya Jemaah Menteri boleh nasihat Tuanku Agong (tidak timbul budi bicara) untuk teruskan Darurat ataupun tidak,” katanya.

Asyraf berkata, Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau menyatakan secara jelas bahawa di bawah Ordinan Darurat, Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan berperanan untuk menasihati Agong.

“Jadi tak perlu kenyataan-kenyataan yang buat rakyat lebih keliru! Tak mungkin PM bersandiwara dengan penubuhan Jawatan Khas Darurat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bagi Pemuda Umno, dalam tempoh sebulan setengah berbaki sebelum Darurat tamat, lebih baik kerajaan manfaatkan ordinan itu untuk kepentingan rakyat.

“Iaitu pertama, kerajaan harus mengarahkan Bank bagi menawarkan Moratorium tanpa caj/faedah tambahan kepada semua golongan termasuk M40.

“Kedua, arahkan KWSP untuk rakyat akses kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 dan ketiga, mengawal harga barang keperluan asas rakyat yang naik mendadak di kala pandemik, apa guna darurat jika tak dapat bantu rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, Pemuda Umno juga berpendirian bahawa tidak perlu diteruskan Darurat selepas 1 Ogos ini.

“Ia ternyata lebih memudaratkan negara sedangkan jelas tidak berkesan untuk menurunkan kes Covid-19 kepada sekurang-kurangnya dua angka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here