Darurat: Kedudukan, kuasa jemaah menteri kabur – Isham Jalil

0
1

DALAM tempoh darurat kuasa diserahkan ke tangan Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan serta kuasa jemaah menteri adalah kabur, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Menurutnya, ini kerana semasa darurat kuasa-kuasa statutori jemaah menteri adalah terdatang (derived) daripada Perlembagaan yang telah digantung.

“Kuasa jemaah menteri yang tinggal hanyalah kuasa prerogatif yang terdatang (derived) daripada kuasa Agong;

“…dan dalam tempoh darurat jemaah menteri tidak boleh menggunakan statut (atau Perlembagaan) untuk mengatasi kuasa ini, seperti yang cuba dilakukan oleh menteri jika dia menyatakan yang Agong perlu mengikut nasihat jemaah menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isham berkata, tambahan pula dalam Perlembagaan tidak disebut tentang pengisytiharan penamatan darurat.

Oleh itu, katanya, jika mengikut statut atau Perlembagaan, jemaah menteri tidak ada kuasa untuk menasihati Agong untuk menamatkan atau menyambung darurat setelah proklamasi pertama dibuat sebelum darurat berkuatkuasa dahulu.

“Maka, setelah darurat diisytihar, ia terserah kepada budi bicara Agong untuk membuat keputusan dan bukan lagi di tangan jemaah menteri atau Perdana Menteri yang tidak lagi ada kuasa untuk menasihati Agong.

“Maksudnya, Agong boleh mendengar nasihat mereka atas budibicara sahaja dan tidak perlu ikut nasihat mereka ketika darurat,” katanya.

Isham menjawab kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang memaklumkan bahawa jemaah menteri yang akan menasihati Agong dan menentukan sama ada darurat akan ditamatkan atau dilanjutkan.

Takiyuddin berkata, menjadi tanggungjawab jemaah menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Menurut Takiyuddin, menasihati Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat jemaah menteri mengikut Perlembagaan seperti mana ketika Baginda mengisytiharkan darurat pada Januari lepas.

Oleh itu, katanya, persoalan sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong seperti dibangkitkan tidak seharusnya timbul. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here