MENTERI Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyarankan kerajaan belajar daripada kesilapan lalu dalam usaha melawan wabak Covid-19.
Hishamuddin berkata, karenah birokrasi yang wujud menghalang Malaysia daripada menerima bantuan negara luar, ketika rakyat negara ini semakin gelisah dan letih menghadapi pandemik berkenaan.
“Karenah birokrasi menjadi penghalang utama dalam menerima bantuan dari negara luar dan berisiko menggugutkan hubungan diplomatik dan menjejaskan integriti negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, banyak rakan Malaysia di seluruh dunia menawarkan bantuan namun birokrasi menghalangnya serta menjelaskan ia sepatutnya diterima dengan kesungguhan dan bukan keengganan.
“Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul. Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri.
“Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil,” katanya.
Naib Presiden Umno itu juga bimbang kemungkinan negara hilang keseimbangan antara mengutamakan kesihatan awam atau kepentingan ekonomi.
“Hari ini, selepas lebih 450 hari – kita mesti melihat kembali apa yang telah kita lakukan dan memikirkan kewajarannya.
“Perkara yang tidak kita ketahui tahun lalu bukan lagi misteri sepenuhnya. Fokus kita sebelum ini adalah mencapai keseimbangan antara nyawa dan keperluan hidup yang mana inilah keutamaan usaha kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan tiga langkah mudah mengenai perkara yang harus difokuskan demi membawa kita semua keluar dari ‘paradoks pandemik’ ini.
Katanya, cadangan itu dari sudut pemerhatiannya sebagai Menteri Luar Negeri selepas banyak berkomunikasi dengan rakan sejawat, terutama berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara masing-masing.
“Pertama, mengenai Perintah Kawalan Pergerakan. Seperti yang telah kita lakukan sebelum ini, kita harus mencari titik persamaan dalam mengimbangi kepentingan melindungi serta menyelamatkan nyawa dan membuka sektor ekonomi bagi menampung keperluan hidup.
“Dengan PKP sedang dilaksanakan, sepatutnya tiada lagi perubahan dan kita mesti konsisten dengan SOP sedia ada. Perubahan yang tidak perlu dan bersifat reaktif hanya akan merencatkan semua yang telah kita capai setakat ini.
“Kedua, berkaitan program vaksinasi. Rakyat Malaysia pada awalnya yakin dengan pendekatan proaktif Kerajaan dalam menetapkan pemberian vaksin secara berfasa serta keberhasilan awal mendapatkan bekalan vaksin.
“Tetapi kita mesti faham mengapa hari ini rakyat Malaysia menggesa pemberian vaksin dipercepatkan – bilangan kes harian yang meningkat telah menimbulkan ketakutan, kekecewaan dan keresahan,” katanya.
Akhir sekali, beliau berkata, negara perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran.
Katanya, ramai ahli politik dan pakar kesihatan turut suarakan pandangan yang sama.
“Ujian saringan secara besar-besaran akan membolehkan kita menguji, mengenalpasti dan mengasingkan mereka yang positif dengan lebih cepat sekali gus mengupayakan kita mengurus wabak ini dengan lebih baik.
“Namun untuk melaksanakannya, kita perlukan perancangan sama ada untuk meningkatkan kapasiti makmal, menambah kit ujian Covid-19 atau memberi subsidi kos untuk melakukan ujian saringan,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong itu juga menggesa kerajaan untuk mempercepat kelulusan bekalan vaksin Covid-19.
“Rakyat Malaysia pada awalnya yakin dengan pendekatan proaktif kerajaan untuk menetapkan rancangan untuk vaksinasi secara berfasa, dan berharap dapat melaporkan kejayaan awal kita dalam mendapatkan bekalan.
“Tetapi kita juga harus memahami mengapa rakyat Malaysia meminta tindakan segera yang lebih cepat – berdasarkan peningkatan kes baru-baru ini, ketakutan telah mulai timbul, membawa kekecewaan dan kegelisahan,” katanya.
Merujuk kepada United Kingdom dan Amerika Syarikat, Hishammuddin berkata, dunia telah melihat kebimbangan ini akhirnya pudar ketika vaksinasi meningkat dan bertukar menjadi optimis.
Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperluaskan vaksin bagi mengatasi kebimbangan ini. – Malaysiapost

