MAGERAN : PM mahu kekal ciri kerajaan ‘civilian’- Wan Saiful

0
2
Malay Mail

CADANGAN penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) tidak akan dilakukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mahu mengekalkan ciri kerajaan ‘civilian’ atau bersifat orang awam.

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Muhyiddin bukan seorang yang bersikap autoriti, berkuasa penuh untuk membuat keputusan kerana turut membabitkan pihak lain.

“MAGERAN pernah diwujudkan untuk menggantikan kabinet selepas PRU (Pilihan Raya Umum) 1969. Kuasa pentadbiran dipusatkan di bawah MAGERAN.

“Tetapi sekarang Perikatan Nasional kekalkan kabinet penuh yang menjalankan fungsi seperti biasa. Kerana darurat kita kini ialah darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan. Jadi kabinet dan fungsinya boleh dikekalkan,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.

Wan Saiful berkata, kerajaan juga mempunyai Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang aktif menguruskan pandemik dan kerap mengadakan mesyuarat bagi menyelaras operasi.

“Pertama sidang khas MKN mengenai pengurusan Covid-19 bersidang minima dua kali seminggu. Dan kedua sidang khas MKN mengenai darurat bersidang minima sekali setiap seminggu.

“Ditambah lagi mesyuarat Kabinet setiap minggu, ada empat mesyuarat khusus menangani ehwal semasa. Itu belum lagi jawatankuasa-jawatankuasa teknikal,” katanya.

Katanya, isu pengurusan pandemik seperti keputusan kesihatan awam, kuarantin, saringan rakyat, saringan pekerja asing, rawatan, vaksinasi, prosedur operasi standard (SOP) turut dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tiada keperluan penubuhan MAGERAN kerana kerajaan berfungsi dengan baik, kes baharu Covid-19 juga sedang dikawal dan kadar vaksinasi Malaysia, antara tertinggi di Asia.

“Pelabur pun sudah mula kembali. Dan bantuan sampai ke tangan hampir semua yang memerlukan.

“Saya berpegang bahawa tanggungjawab kita sekarang ialah membantu menjadi penyelesai masalah. Kita semua mesti memainkan peranan masing-masing. Bukan merungut tidak berkesudahan atau berterusan mencari salah,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here