Kerajaan perlu tukar strategi ‘lockdown’ – DPIM

0
1
Suasana di sekitar bandaraya Kuala Lumpur terakhir sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) "Total Lockdown" ketika tinjauan Malaysiapost malam ini.

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyarankan kerajaan mengubah strategi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua bermula 15 Jun hingga 28 Jun ini bagi menurunkan kes harian kepada dua angka.

Ketuanya, Shahir Adnan, berkata fasa pertama PKP 3.0 yang sudah dilalui hampir dua minggu, ternyata ada kelompongan kerana hampir 120,000 syarikat dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata, fakta menunjukkan kluster tempat kerja melibatkan 12 daripada 16 kluster semalam.

“Angka ini bermakna sekitar 75% daripada kluster harian adalah kluster tempat kerja. DPIM menyarankan kerajaan mengubah strategi PKP lanjutan ini untuk mendapatkan keputusan yang dikehendaki – menurunkan kes harian Covid-19 daripada 5,000 kes ke atas kini kepada sekurang-kurangnya dua angka.

“Ia kerana jelas menunjukkan PKP separuh masak, mengikut kehendak MITI adalah strategi salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan berlapang dada dan mendengar rintihan rakyat kerana dijangkakan jutaan individu akan hilang gaji gaji bulan ini, termasuklah dipotong gaji serta terpaksa mengikat perut kerana PKP yang dipanjangkan.

“PKP masih dipanjangkan dan dijangka terus dipanjangkan kerana situasi Covid-19 masih meruncing kerana strategi PKP yang salah.

“Rakyat yang tidak bersalah terus terkurung, malangnya kapitalis besar terus mengaut keuntungan dengan pembukaan perniagaan mereka. Akhirnya, rakyat yang terus menderita,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, moratorium secara automatik selama tiga bulan buat rakyat M40 dan B40 masih tidak menjadi kenyataan.

Justeru, DPIM merayu Perdana Menteri untuk mempertimbangkan moratorium automatik untuk rakyat B40 dan M40, selaras dengan saranan ratusan NGO dan pimpinan parti politik lain, terutamanya Presiden Umno dan Presiden PKR.

“Kerajaan diharapkan mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat agar tiada rakyat kita yang tersisih. Golongan M40, B40 dan PKS memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here