Izinkan rakyat guna tanah rizab bercucuk tanam – Uncle Kentang

0
1

AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran kepada rakyat bercucuk tanam di tanah rizab majlis ataupun kerajaan bagi tempoh dua tahun pandemik Covid-19.

Chee Heng yang dikenali sebagai Uncle Kentang, berkata selain tanah, Kementerian Pertanian juga perlu membantu dengan memberi benih sayur percuma kerana pihak yang terkesan ketika ini.

“Kita perlu berubah demi pandemik. Selalunya majlis akan saman sesiapa yang menganggu landskap tanah majlis. Tetapi kini musim Covid. Ramai putus makanan. So kalau boleh Kementerian Pertanian harus beri lah benih sayur percuma kepada rakyat.

“Dan rakyat boleh dibenarkan dalam tempoh dua tahun pandemik ini bercucuk tanam di atas tanah rizab majlis, tanah rizab kerajaan tanpa diganggu untuk mengusahakan apa apa tanaman dan sayuran untuk menampung perut yang lapar,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, jika kerajaan membenarkan perkara itu maka rakyat dapat menampung kehidupan mereka dan penanaman sayuran itu bukan sekadar untuk jualan tapi makanan sekiranya kehabisan wang.

“Kalau dapat dibuat begitu rakyat sudah ada “safety net” untuk makanan. Usaha bukan untuk dijual tetapi untuk makan.

“Ini boleh dibuat secara skala bergotong royong untuk setiap kawasan untuk mereka yang melopong di rumah dan lalat hinggap di pipi pun dah tak larat pukul….. kerana perut kosong dan tak ada kerja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak majlis memainkan peranan bagi membantu rakyat yang terjejas bukan membebankan mereka lagi.

“Majlis harus main peranan bukan hanya kutip cukai pintu dan menayangkan setiap tahun mana majlis yang terkaya dan terbanyak kutipan.

“Majlis kena proaktif dalam menangani wabak pandemik, usaha kan plot-plot tanaman sayuran dan makanan dan sebarkan benih percuma kepada rakyat yang terjejas.

“At least mereka ada sayur untuk makan, jangan saman mana-mana yang berusaha dengan tanaman beri kelonggaran dalam dua tahun ini sahaja.

“Boleh tak majlis berpikir begitu? Dalam agama, kita harus bantu apa cara pun kerana kita manusia yang beragama. Tuhan datangkan cabaran untuk kita berusaha meneroka cara dan idea baru ada hikmahnya sabar dan berfikir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here