PEMIMPIN utama Korea Utara, Kim Jong-un menggelar budaya pop Korea Selatan (K-pop) ibarat barah yang merosakkan fesyen rambut rakyatnya dan mengugut untuk membunuh peminat K-pop.
Jong-un bimbang muzik, filem dan rancangan televisyen dari Korea Selatan yang diseludup masuk ke negara itu akan mempengaruhi anak muda Korea Utara dan memberi pengaruh buruk kepada rejim pemerintahannya, lapor akhbar New York Times.
Budaya di Korea Utara adalah ditentukan oleh pemerintah negara itu, namun anak mudanya dikatakan secara sembunyi telah menikmati muzik K-pop yang diseludup dari sempadan.
Jong-un berkata, budaya K-pop telah merosakkan pakaian, gaya rambut, ucapan dan tingkah laku penduduk di negaranya.
Disember tahun lalu, Korea Utara memperkenalkan undang-undang baharu bahawa sesiapa yang menonton atau memiliki bahan hiburan dari Korea Selatan akan dihantar ke kem buruh selama 15 tahun.
Sesiapa yang menyeludup masuk bahan hiburan seperti muzik, rancangan televisyen atau filem daripada negara seberang itu pula boleh dikenakan hukuman mati.
Undang-undang baharu itu dibuat selepas Jong-un menuduh pengaruh luar akan merosakkan rejim pemerintahannya.
Menurut laporan, Jong-un memberi amaran bahawa perubahan serius melibatkan ideologi dan keadaan mental dalam kalangan generasi muda di negara itu sedang berlaku.
Jong Un itu juga melarang pemakaian kemeja-T yang menampilkan slogan dan tindik pada hidung dan bibir.
Bulan lalu, seorang lelaki Korea Utara ditembak mati skuad penembak di hadapan 500 penduduk dan ahli keluarganya kerana menjual muzik dan filem secara haram.
Ketika hukuman mati dijalankan, ahli keluarga lelaki dikenali sebagai Lee itu dipaksa berdiri di barisan hadapan bersama-sama orang ramai.
Lee yang merupakan ketua jurutera di Suruhanjaya Pengurusan Pertanian Wonsan dikenakan hukuman mati selepas 40 hari dia diberkas. – Malaysiapost

