Dua anggota polis sambut kelahiran bayi di SJR

0
1

DUA anggota polis wanita yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kuching-Samarahan Expressway di Kota Samarahan, Sarawak, terpaksa menjadi bidan apabila membantu menyambut kelahiran seorang bayi perempuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata kejadian berlaku jam 11.50 malam apabila petugas di SJR tersebut didatangi sepasang suami isteri yang menaiki sebuah kereta.

Menurutnya, pasangan terbabit yang berasal dari Kampung Semera Ulu, Asajaya terpaksa melawan arus menuju ke SJR tersebut untuk mendapatkan bantuan, lapor Utusan Borneo.

“Difahamkan, setiba di lampu isyarat menghampiri SJR Expressway, isteri kepada pemandu kereta tersebut mengadu hendak beranak menyebabkan suaminya panik lalu melawan arus ke arah SJR untuk mendapatkan bantuan.

“Seorang anggota kita (Lans Koperal Fatihah) kemudian mendapati si isteri telah melahirkan seorang bayi dan dia terus bantu sambut bayi yang ketika itu lehernya terbelit dengan tali pusat.

“Dibantu Koperal Perakson, bayi tersebut diselimutkan menggunakan tuala dan kemudian diserahkan kepada ibunya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sudirman berkata, petugas SJR kemudian memaklumkan insiden tersebut kepada bilik gerakan dan memohon bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, bayi dan ibunya kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here