Umno tidak pernah tuntut MAGERAN – Asyraf Wajdi

0
1

UMNO tidak pernah mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), tegas Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, apa yang Umno tuntut ketika ini secara konsisten adalah penamatan darurat dan pembukaan kembali Parlimen.

Menurutnya, apa yang pelik ketika ini apabila Pejabat Perdana Menteri sendiri tampil membuat perutusan bantahan terhadap cadangan menubuhkan MAGERAN untuk menggantikan kerajaan.

“Tidak pernah dengar pula mana-mana parti utama tuntut MAGERAN, Kalau di pihak Umno, yang pasti kepimpinan setakat ini secara konsisten hanya tuntut lima perkara utama untuk rakyat.

“Iaitu darurat ditamatkan, manfaatkan kuasa dibawah Ordinan Darurat untuk bantu rakyat termasuk moratorium, kawal harga barang dan bantu rakyat dengan pelbagai bantuan termasuk i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.

“Selain itu menuntut agar memanfaatkan Kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk buat total lockdown secara total bukan separa masak, selain buka Parlimen untuk pertahan semangat dan prinsip demokrasi agar ada akauntabiliti terhadap segala keputusan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Umno sebagai sebuah parti, walaupun sebahagian Ahli-Ahli Parlimen berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah bersetuju bahkan tidak langsung dirujuk mengenai proklamasi darurat, malah alasan darurat kerana hendak menangani Covid-19 juga diragui.

“Sebab itulah, lima tuntutan di atas secara konsisten diperjuangkan Umno agar tempoh darurat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kerajaan menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk bantu rakyat.

“Umno tidak pernah menuntut MAGERAN ditubuhkan yang pastinya bertentangan dengan pendirian yang diputuskan setakat ini untuk darurat ditamatkan atau tidak diteruskan selepas 1 Ogos ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here