Pelaburan RM80b bukti proklamasi darurat beri kesan positif – Annuar

0
1

PELABURAN diluluskan berjumlah RM80.6 bilion pada suku pertama 2021 membuktikan proklamasi darurat kesihatan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah satu langkah yang berkesan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata ia memberi ruang untuk kerajaan melaksanakan agenda pemulihan yang berfokus lagi efektif.

“Ketahanan nasional di segenap bidang, ternyata menjadi penawar berkesan menghadapi suasana pandemik global yang mencabar ini. Tingkatkan usaha, kita menang bersama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Annuar berkata rekod pelaburan yang diluluskan itu menandakan pemulihan ekonomi negara yang memberangsangkan berikutan keyakinan pelabur cukup tinggi.

Katanya lagi, ia perlu diteruskan dengan memastikan suasana politik kekal stabil, sekali gus perancangan memerangi Covid-19 tambah berkesan terutama Pelan Imunisasi Nasional yang semakin efektif serta keupayaan kepimpinan kerajaan kekal utuh dan fokus.

“Fasa berikutnya sepanjang 2021 cukup mencabar dan kita yakin mampu melakukannya dan akan menang bersama.

“Impak dari siri siri “intervention” yang berkesan dari sudut fiskal dan program pemulihan yang benar-benar efektif akan terus memberi kesan positif seperti dirancang kerajaan.

“Pemulihan ekonomi serantau dan global juga perlu dimanfaat sepenuhnya oleh negara dengan mengelak ketidakstabilan dalaman, suasana tidak menentu atau sebarang bentuk tindakan yang boleh dianggap sebagai sabotaj ekonomi negara,” katanya.

Dalam kata lain beliau berkata, negara perlu memperagakan keupayaan menawarkan suasana kondusif kepada pelaburan asing yang pastinya memacu pertumbuhan negara.

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021, lonjakan 95.6 peratus berbanding RM41.2 bilion semasa tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan tahap tinggi daripada pelabur asing dan domestik menujukkan hasil yang menggalakkan.

Katanya, pelaburan diluluskan membabitkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan.

“Malaysia kekal lokasi pelaburan kompetitif untuk pelabur asing di sebalik pelbagai cabaran di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here