Cent-GPS cadang Pilihan Raya Pecat cegah lompat parti

0
1
PRN Sabah Bendera

KAJIAN pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) mencadangkan Pilihan Raya Pecat dilaksanakan bagi menghalang wakil rakyat melompat parti.

Menurut Cent-GPS, cadangan itu mengambil kira berdasarkan dua pertimbangan utama jika terdapat halangan untuk mewartakan undang-undang anti lompat parti.

“Yang pertama adalah kebimbangan bahawa mana-mana undang-undang menghalang amalan lompat parti adalah “ambang kehancuran” demokrasi di Malaysia kerana ia menghalang kebebasan berpersatuan.

“Satu lagi pertimbangan adalah berkaitan aspek ekonomi; perubahan gabungan parti boleh mengubah pemerintahan, terutama pada masa sekarang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas mengenainya, pilihan raya pecat adalah pendekatan di mana pengundi dapat menamatkan tempoh pentadbiran pemimpin dengan petisyen melibatkan 10 peratus pemilih berdaftar untuk meminta pilihan raya semula diadakan.

“Prosesnya mungkin mengambil masa sehingga enam bulan, termasuk mengadakan pilihan raya kecil.

“Kelemahan pilihan ini adalah tempoh enam bulan untuk mengumpul tandangan pemilih dan memutuskan pilihan raya kecil diadakan tidak akan menangani isu perubahan pemerintah.

“Ya, ia akan mewujudkan halangan terbesar kepada mana-mana Ahli Parlimenyang berhasrat melompat parti. Tetapi terdapat ketidaktentuan dalam tempoh peralihan ini berkaitan tindakan boleh dilakukan mereka yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama, menurut pusat penyelidikan itu, mampukah seseorang AhliParlimen tersebut berterusan menyokong pakatan baru bagi membolehkan pemerintahan baru dibentuk?

“Enam bulan adalah masa yang lama. Walaupun sepenuhnya demokratik, kita mungkin masih akan menghadapi perubahan pemerintah kerana tindakan melompat parti, walaupun proses ini berjalan,” katanya.

Namun, menurut Cent-GPS pelaksanaan Pilihan Raya Pecat ini ada kelemahannya.

“Kalaupun prosesnya berjaya dan ada pilihan raya kecil, rakyat masih berdepan proses untuk mengadakan pilihan raya kecil dengan kos yang tinggi.

“Pemilihan yang boleh mengalihkan tumpuan pemimpin dan juga mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan pelabur untuk melabur di Malaysia.

“Jika hanya seorang Ahli Parlimen lompat parti pada Januari dan pilihan raya kecil diputuskan diadakan pada Jun, kita kehilangan masa selama enam bulan, dua suku pengiraan ekonomi, kerana ketidaktentuan yang wujud. Ini akan menimbulkan masalah besar kepada ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here