Malaysia catat 23 kes varian baharu dalam tempoh kurang seminggu

0
1
dr noor hisham

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan 23 kes varian baharu virus Covid-19 di negara ini sejak 3 hingga 8 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua 23 kes yang dilaporkan adalah Variant of Concern (VOC), iaitu 19 kes varian Beta (B.1.351); dan empat kes varian Delta (B.1.617.2).

Menurutnya, kes varian Beta (B.1.351) yang dilaporkan merangkumi lapan kes di Selangor, tiga kes di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka, dan Kedah, serta masing-masing satu di Perak dan Perlis.

Katanya, empat kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Sehingga 9 Jun, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah 161 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 145 adalah VOC dan 16 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2.

Selain itu katanya, memperbanyak ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian tersebut di dalam komuniti.

Beliau berkata, masyarakat dinasihat untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.

“Ini juga salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here