KERAJAAN bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang layak selama tiga bulan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata keputusan itu diambil kerana menyedari ramai peminjam yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
“Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman itu akan diperincikan PTPTN dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang
“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban peminjam PTPTN,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam dan penangguhan khas bayaran balik selama tiga bulan antara Januari hingga Mei 2021. – Malaysiapost

