“MASJID dihadkan kepada 12 orang untuk solat jumaat tetapi studio boleh pula dihadiri 50 orang juri?,”soal pendakwah Ahmad Husam Baderudin.
Kenyataan itu susulan tular di media sosial hari ini, memaparkan sebuah program realiti televisyen menghimpunkan 50 orang juri terdiri daripada kalangan selebriti hadir ketika program hiburan itu berlangsung.
Menurut Ahmad Husam, program hiburan seperti itu sepatutnya tidak dibenarkan berlangsung kerana perlu menjaga sensitiviti bahawa negara kini sedang bergelut melawan Covid-19.
Tambahnya, apa yang lebih menghairankan apabila aktiviti berjemaah di masjid hanya dibenarkan 12 orang sahaja untuk solat sunat jumaat, berbanding program hiburan tersebut yang menampilkan 50 orang juri, tidak termasuk kru-kru penggambaran lain.
“Kalau dibenarkan program ini telah berlangsung maka bagaimana pula dengan program di masjid? Pada hemat saya, program seperti ini sangat tidak patut ditayangkan didalam keadaan sekarang..
“Apakah pihak tertentu tidak sensitif kepada masalah yang sedang dihadapi sekarang?
“Juri sahaja 50 orang, berapa jumlah team produksi? saya rasa keluasan studio tersebut lebih kecil daripada keluasan masjid pekan Kokdiang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Hari ini, rancangan All Together Now Malaysia mendapat kecaman warga netizen apabila didakwa mengumpulkan 50 juri di dalam satu tempat bagi memilih penyanyi baharu berbakat besar.
Rancangan realiti televisyen yang disiarkan baru-baru ini, dipertikaikan warga netizen yang membandingkannya dengan kapasiti jemaah yang dibenarkan kerajaan untuk solat di masjid.
Menjadi pertikaian adalah bagaimana rancangan realiti itu dibenarkan berlangsung dengan kehadiran dan jumlah selebriti yang ramai dalam satu masa, selain mempertikai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) peserta program hiburan terbabit.
Bagaimanapun, rancangan yang diterbitkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan itu dikatakan dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/06/08/netizen-tak-puas-hati-program-hiburan-himpun-50-artis/

