Mahdzir seru pemimpin Umno bersolidariti perangi Covid-19

0
1

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru kepimpinan parti itu di semua peringkat bersolidariti dan berganding bahu dalam membantu usaha menangani pandemik Covid-19.

Mahdzir berkata, kepimpinan Umno perlu menggiatkan usaha di peringkat masing-masing untuk menyokong segala inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, usaha memerangi Covid-19 tidak sepatutnya hanya diserahkan kepada kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata.

“Situasi di negara kita hari ini memerlukan solidariti. Kita tidak boleh membiarkan hanya pihak kerajaan atau Kementerian Kesihatan semata-mata melakukan segalanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, peranan membantu kerajaan dan KKM perlu dipertingkatkan dan digerakkan oleh kepimpinan Umno di seluruh negara.

Beliau berkata, antara inisiatif yang boleh digerakkan termasuk mewujudkan pasukan Sukarelawa Umno Untuk Covid-19, Unit Bergerak Vaksinasi di setiap kawasan Parlimen yang diwakili Umno dan Unit Kenderaan Khas bagi membawa orang ramai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Selain itu, bantuan insentif kewangan, pengurusan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 dan bantuan keperluan peralatan atau makanan di Pusat Kuarantin.

“Ada banyak yang boleh disumbangkan untuk menangani Covid-19 ini. Umno sebenarnya sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi, dan itulah yang perlu kita lakukan sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, Umno bukanlah parti yang bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim.

Katanya, dalam situasi kritikal yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini, kepimpinan Umno di seluruh peringkat perlu mengambil peluang untuk mendekati rakyat dengan menawarkan pelbagai bantuan yang diperlukan.

“Kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno juga perlu lebih agresif dalam menggerakkan jentera mereka turun padang membantu rakyat atau pihak berkuasa berkaitan Covid-19.

“Rakyat ketika ini, sedang memerhati dan menilai setiap perkara yang dilakukan oleh kepimpinan Umno,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin Umno, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menggalas tanggungjawab dengan segala inisiatif untuk melandaikan kes jangkitan Covid-19 di negeri masing masing.

“Manakala Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Umno di negeri-negeri juga kita rakamkan ucapan terima kasih walaupun bukan sebagai Menteri Besar, tetapi juga telah berusaha untuk membantu menjayakan usaha-usaha menangani Covid-19.

“Pucuk pimpinan Umno diperingkat Pusat akan memberi sokongan penuh terhadap segala usaha dan inisiatif yang digerakkan diperingkat bawah dalam membantu jentera kerajaan menangani wabak itu,” katanya.

Mahdzir berkata, sebagai Naib Presiden Umno, pucuk pimpinan parti tidak mempunyai halangan kerana matlamat utama adalah untuk membantu usaha menangani pandemik Covid-19 tanpa mengira situasi politik.

“Bagi saya ini masanya kita berganding bahu dengan semua petugas di peringkat Parlimen untuk berjuang melawan Covid-19. Ingin saya tegaskan juga buat masa ini biarlah tumpuan kita kepada melawan Covid-19 terlebih dahulu.

“Kita ketepikan dahulu soal politik kepartian atau kepimpinan kerajaan. Bagi saya, ini bukan masanya lagi. Biarlah kita sama-sama berjuang melawan Covid-19 ini terlebih dahulu. Nyawa kita dan nyawa semua rakyat Malaysia adalah lebih utama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here