POLIS menahan empat lelaki selepas menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Taman Desa Damai, Bentong, semalam.
Ketika kejadian, dua suspek bertindak agresif termasuk mengeluarkan kata-kata kesat serta seorang cuba mencederakan seorang pegawai kanan polis wanita.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata sepasukan pegawai dan anggota unit kereta peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Bentong ke tempat kejadian pada jam 5.30 petang setelah mendapat maklumat daripada orang awam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki berusia 20 hingga 28 tahun sedang berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan sedang minum dipercayai minuman beralkohol.
“Mereka juga datang dari kawasan perumahan berlainan yang dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan, dua daripada mereka bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat, enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
“Salah seorang suspek turut cuba mencederakan seorang pegawai kanan polis wanita di lokasi kejadian tetapi berjaya dihalang.
“Susulan kejadian itu, mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun RM5,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit (PPPDPPB) (No 2 ) 2021,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost

