MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan siasatan dilakukan ke atas sebuah rancangan hiburan terbitan syarikat penyiaran swasta susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata siasatan akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), lapor Berita Harian.
“Kita sudah maklumkan perkara ini kepada KKKM dan kementerian berkenaan sedang meneliti keseluruhan aspek rakaman program.
“KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya jika mereka mengenal pasti berlaku pelanggaran apa-apa SOP sepanjang rakaman program terbabit,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan rakaman musim pertama rancangan hiburan, menampilkan 50 juri yang dilihat tidak memakai pelitup muka sepanjang rakaman dibuat.
Difahamkan rakaman program itu dibuat antara 3 Mac hingga 11 April lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Mengulas lanjut, Mohd Rabin berkata, tindakan penguatkuasaan masih boleh diambil jika berlaku ketidakpatuhan SOP ditetapkan, walaupun rakaman program terbabit sudah selesai.
“Kalau ada pelanggaran dia (syarikat penyiaran) boleh diambil tindakan. Walaupun benda itu (rakaman program) sudah berlaku, ia timbul di media atau sebagainya, polis tetap akan siasat,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: TW/FaktaBukanAuta

