PESAWAH mohon bantuan menunggu musim menuai RM500 selama 3 bulan

0
1

PERTUBUHAN Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memohon pertimbangan kerajaan untuk melaksanakan bantuan sementara menunggu musim menuai sebanyak RM500 sebulan selama tiga bulan kepada golongan itu.

Pengerusinya, Mohd Fuad Yaacob, berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang dijadualkan berakhir pada 14 Jun ini, dijangka akan berterusan dengan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan yang mungkin akan mengambil masa satu bulan atau lebih.

“Sepanjang tempoh ini, tidak dapat disangkal bahawa pesawah adalah juga pekerja barisan hadapan dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini untuk memastikan jaminan bekalan makanan negara tetap terjaga.

“Namun begitu, sepertimana golongan pekerja dan peniaga, keluarga para pesawah juga menghadapai kesan tekanan ekonomi sewaktu perlaksanaan PKP ini. Ini kerana, mereka sudah tidak dapat melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga seperti selalu.

“Majoriti pesawah melakukan kerja kedua kerana pendapatan daripada aktiviti penanaman padi biasanya adalah tidak mencukupi sementara menunggu masa untuk menuai padi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fuad berkata, pesawah juga menghadapi situasi yang tidak menentu pada musim ini dengan kejadian serangan serangga dan penyakit sudah bermula di beberapa kawasan.

Katanya, kelewatan pengedaran benih juga boleh menyebabkan risiko hasil berkurangan kerana tidak selari dengan jadual air dan musim.

“Sehubungan itu, kami memohon pertimbangan pihak kerajaan untuk melaksanakan bantuan sementara menunggu musim menuai sebanyak RM500 sebulan selama tiga bulan kepada para pesawah.

“Diharapkan dengan bantuan ini, dapat meringankan beban para pesawah dalam menghadapi situasi sukar pada ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here