Kenaikan harga minyak sawit beri pulangan kepada 3 juta pekebun

0
1

MINYAK Masak Sawit berada di bawah pengurusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun sebagai Menteri yang menjaga sawit saya terpanggil untuk menjelaskan isu kenaikan harga minyak sawit mentah yang memberi kesan pada harga minyak masak.

Harga minyak sawit mentah di pasaran dunia sekarang ialah RM4,000 hingga RM4,500 pertan berbanding dulu sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya. Kesannya harga buah tandan segar di ladang naik sekitar RM1,000 pertan berbanding dulu RM300 pertan yang meletakkan 450,000 pekebun kecil sawit dalam kategori miskin.

Dengan kenaikan harga ini sekarang, mereka bertukar status daripada B40 yang berpendapatan kecil dan miskin kepada berpendapatan baik yang mencukupi untuk sara hidup sekeluarga. Ahli keluarga mereka lebih daripada 3 juta.

Untuk makluman, purata harga minyak sawit mentah untuk 2021 adalah seperti berikut:
Jan RM3,748; Feb RM3, 895; Mac RM4,041; April RM4,220; Mei RM4,572.

Cuba bandingkan dengan purata harga pada 2020.

Purata harga minyak sawit mentah 2020 ialah Jan RM3,013; Feb RM2,714; Mac RM2,382; April RM2,299; Mei RM2,074; Jun RM2,411; Julai RM2,519; Ogos RM2,815; Sep RM2,924; Okt RM2,979; Nov RM3,422; dan Dis RM3,620.

Purata harga minyak sawit mentah pada 2019 ialah RM2,079. Dengan harga minyak sawit mentah sekitar RM2,000 pekebun kecil menjual buah sawit di ladang dengan harga RM300 sahaja.

Ia tidak cukup untuk menampung kos keringat dan baja mereka, tetapi dengan harga RM4,000 pekebun kecil menikmati harga di ladang RM1,000 pertan menjadikan purata pendapatan bulanan pekebun kecil dengan empat hektar sawit sekitar RM5,000 hingga RM6,000.

Kenaikan harga inilah yang menguntungkan tiga juta rakyat miskin dari kalangan keluarga peneroka dan pekebun kecil sawit. Alhamdulillah, Sawit Anugerah Tuhan.

Berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah berlakulah kenaikan harga pada minyak sawit bertapis atau minyak masak.

Harga minyak masak bertapis lebih tinggi sekitar RM5,000 pertan berbanding harga minyak sawit mentah. Oleh itu, dengan harga minyak sawit mentah RM4,000 hingga RM4,500, purata kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 hingga RM5 perkg. Kalau 5 kilogram sekitar RM25. Belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain.

Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 per 5 kg.

Sudah lama rakyat M40 dan T20 (60 peratus rakyat Malaysia) yang kaya menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat para pekebun kecil yang berpendapatan kecil. Golongan kaya menikmati harga minyak masak sekitar RM20 untuk 5 kg.

Kos proses di kilang sekitar RM3 perkg termasuk botol dan pembungkusan. Ditambah dengan keuntungan pembekal, pemborong dan peruncit menjadi RM20 untuk 5 kg. Sangat murah, tetapi pekebun kecil di kampung tidak cukup makan kerana harga sawit yang rendah ditambah dengan kos baja dan lainnya.

Untuk 12 juta rakyat miskin kerajaan telah menyediakan harga subsidi RM2.50 dengan pek 1 kg meskipun harga modal di kilang telah menjangkau RM5. Kerajaan membayar untuk subsidi purata 720,000 tan setahun atau sebanyak 720 juta pek minyak masak 1 kg dikeluarkan.

Bukan hanya cukup untuk 12 juta rakyat B40, malah dengan angka rakyat Malaysia 32 juta, setiap orang boleh menikmati 1.8 kg minyak sebulan dengan harga subsidi. Kalau keluarga dengan lima orang bererti satu keluarga boleh menikmati purata 9 kg minyak masak bersubsidi sebulan.

Minyak masak pek 2 kg dan 5 kg beredar di pasaran sekitar 300,000 tan. Minyak masak pek bersubsidi 1 kg beredar di pasaran sekitar 720,000 tan. Sementara, 19 juta tan dipasarkan di pasaran antarabangsa menerusi eksport.

Dalam keadaan minyak 1 kg bersubsidi dikeluarkan, berlaku penyelewengan penipuan subsidi di pasaran. Mereka mengumpulkan minyak bersubsidi RM2.50 dan dipek semula menjadi minyak pek 5 kg serta dijual dengan harga pasaran dulu RM20 dan sekarang RM30.
Sangat besar keuntungan daripada penyelewengan ini.

Sekiranya subsidi diperluaskan kepada minyak masak 5 kg kegunaan M40 dan T20 penyelewengan boleh berlaku lagi dengan sekala lagi besar dan memerlukan penguatkuasaan lebih ketat oleh kerajaan menerusi KPDNHEP.

Kerajaan menikmati hasil cukai yang tinggi dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia. 19 juta tan minyak sawit dieksport keluar berbanding 1 juta sahaja kegunaan dalam negara.

Hasil cukai itu dipulangkan kepada rakyat menerusi pelbagai cara antaranya Bantuan Prihatin RM1,200 hingga RM1,800 setahun kepada keluarga B40, di samping bantuan-bantuan lain. Ia juga membantu mereka memenuhi keperluan kenaikan harga minyak masak jika minyak masak pek 2 kg atau pek 5
kg yang mereka mahu gunakan bukannya pek 1 kg bersubsidi.

Kerajaan Sabah menikmati hasil cukai jualan hampir RM1 bilion pada tahun 2020 ekoran kenaikan harga minyak sawit. Untuk lima bulan pertama 2021 pula dianggarkan kerajaan Sabah mendapat hampir RM500 juta.

Inilah antara sumber utama kerajaan Sabah sekarang. Begitu juga Sarawak mendapat cukai jualan sawit yang tinggi juga meskipun lebih rendah daripada Sabah. Kerajaan Malaysia pula dijangka menikmati levi cukai keuntungan luar biasa untuk 2021 lebih RM1 bilion.

Kesimpulannya ialah kenaikan harga minyak sawit menguntungkan 3 juta rakyat Malaysia dan mengeluarkan mereka daripada status miskin.

Kesan kenaikan harga sawit ditanggung oleh M40 dan T20 yang cukup makan dan kaya, namun ia memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang telah lama diabaikan. Hasil cukai daripada kenaikan minyak sawit dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang dapat dirasai oleh semua rakyat.

Negeri seperti Sabah dan Sarawak menikmati pendapatan tinggi kerana kenaikan harga sawit.

Diharap penjelasan ini merasionalkan isu yang dibangkitkan melibatkan kenaikan harga minyak masak.

(Penulis: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali)

(Artikel ini adalah pandangan penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here