PEMUDA PAS meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan berita tidak benar berhubung status kesihatan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata beliau memohon semua ahli Pemuda PAS dan rakyat Malaysia mendoakan kesihatan Abdul Hadi.
“Saya minta kepada semua Pemuda PAS dan rakyat Malaysia yang cintakan Perpaduan Ummah untuk mendoakan kesihatan buat Dato’ Seri Tuan Guru AyohCik, Presiden PAS.
“Jom kita sama-sama memohon kepada Allah SWT agar beliau sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan untuk terus mendidik kita semua rakyat Malaysia dengan agenda-agenda Islam,” tulisnya dalam dalam Facebook.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, sebarang perkembangan terkini berhubung kesihatan Abdul Hadi akan dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Saya juga memohon agar tidak dipanjangkan berita-berita yang tidak benar mengenai status kesihatan Tuan Guru.
“Sebarang perkembangan mengenai kesihatan Tuan Guru akan di kemaskini oleh Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari semasa ke semasa,” katanya.
Semalam, Muhammad Khalil dalam hantaran Facebook memaklumkan Abdul Hadi dimasukkan ke IJN.
Menerusi hantaran itu, Muhammad Khalil yang juga Adun Batu Buruk, berkata keadaan Abdul Hadi stabil namun masih memerlukan rawatan susulan dan pemantauan oleh doktor.
Beliau turut memohon orang ramai supaya mengadakan solat hajat dan berdoa supaya bapanya yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, segera sembuh seperti sedia kala. – Malaysiapost

