
KERAJAAN diminta mempertimbang agar penunggang barangan dan makanan bermotosikal atau P-Hailing diberi keutamaan menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Presiden Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata ketika Covid-19 melanda, penunggang P-Hailing telah diiktiraf sebahagian daripada petugas barisan hadapan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, perkara itu telah memberi semangat kepada mereka untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, namun ketika gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, pengiktirafan itu seakan tidak memberi impak daripada pihak kerajaan.
“Ini dibuktikan apabila penunggang P-Hailing tidak disenaraikan sebagai penerima vaksin yang diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan, sedangkan mereka ini juga tidak terlepas daripada bahaya Covid-19.
“Bayangkan, tugasan seharian mereka sentiasa berada di lokasi Zon Merah dan perlu berjumpa ramai pelanggan, menjadikan mereka juga golongan berisiko tinggi terdedah kepada bahaya. Purata sehari 20 pesanan yang mereka harus sampaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru pihaknya memohon Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan agar penunggang P-Hailing turut diberi keutamaan menerima suntikan vaksin dalam PICK demi menjaga keselamatan mereka.
Zulhelmi berkata, pihaknya turut melahirkan kekecewaan berkaitan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +).
“Ini kali ketiga penunggang P-Hailing diketepikan daripada senarai penerima.
“Walaupun pada dasarnya penunggang P-Hailing tetap meneruskan tugasan seperti biasa, tetapi mereka juga terkesan dengan ujian serta musibah ini,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor melayakkan kumpulan berkenaan diberi perhatian adalah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana banyak sektor tidak boleh beroperasi dan menyebabkan sektor-sektor terlibat telah menceburkan diri dalam sektor P-Hailing dan berlakunya lambakan penghantar.
“SOP PKP yang membenarkan operasi hanya boleh dibenarkan dari jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja menyebabkan pendapatan mereka terjejas, selain terdapat sektor E-Hailing juga membenarkan Rakan-Rakan Pemandu untuk mengambil pesanan makanan dan barangan, dan faktor ini juga menjejaskan pendapatan mereka.
“Penunggang P-Hailing secara tidak langsung telah membantu kerajaan dan pemilik restoran meneruskan kelancaran ekonomi dan secara tidak langsung memberi pendapatan kepada negara,” katanya.
Zulhelmi berkata, pihaknya memohon sekali lagi agar kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan KKM mengkaji semula dua isu ini demi keselamatan dan kebajikan penunggang P-Hailing di Malaysia. – Malaysiapost
