“KITA tengok Perdana Menteri berani atau tidak suruh Azmin letak jawatan,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Akmal berkata setakat ini 172,000 orang telah menandatangani petisyen secara dalam talian Change.org bagi mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan.
Sehubungan itu, beliau mahu melihat sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu meletak jawatan jika petisyen mencecah 200,000.
“Hari ini kita tengok (petisyen) #Azminletakjawatan sudah 172,000. Jadi saya selaku Pengerusi AMK serta mewakili pengundi Johor Bahru, saya jemput rakan-rakan semua untuk sama menyokong.
“Kita pastikan petisyen ini kalau boleh capai 200,000 kita tengok Perdana Menteri berani suruh Azmin letak jawatan atau tidak,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Kongres Nasional Tahunan AMK PKR secara maya hari ini.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata petisyen yang mendapat sokongan tinggi tersebut jelas menunjukkan rakyat menolak Mohamed Azmin yang didakwa gagal berfungsi sebagai menteri kanan.
Sebelum ini Mohamed Azmin mendapat kritikan warga maya susulan beberapa isu melibatkan kebenaran sektor serta syarikat beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh atau total lockdown yang sedang berkuatkuasa.
Setakat jam 7.30 pagi pada 3 Jun lalu, sebanyak 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara dibenarkan beroperasi ketika tempoh total lockdown. – Malaysiapost

