PKPD: 5 lokaliti di Perak, 4 di Sabah, satu di Sarawak dan Pahang

0
1

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Perak, empat kawasan di Sabah dan masing-masing satu di Pahang dan Sarawak bermula Ahad hingga 19 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD dilaksanakan di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Mukim Ulu Kinta, Kinta, Perak kerana kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 24 kes positif telah direkodkan selepas KKM melakukan 243 saringan ke atas penduduk.

“Manakala, pelaksanaan PKPD di Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar, Kerian, Perak kerana terdapat sebanyak 63 kes direkodkan hasil daripada keseluruhan 408 ujian saringan yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kadar positiviti 15.4 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan PKPD di tiga perkampungan Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung, Perak melibatkan Kampung Tanjung Kepah; Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.

“KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara di tiga perkampungan tersebut apabila sebanyak 57 kes positif telah direkodkan hasil daripada 132 ujian saringan secara keseluruhan.

“Pada masa sama, KKM mengesahkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu selain kadar positiviti pula ialah 43.2%,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PKPD dilaksanakan di Taman Berkat, Mukim Matang daerah Larut, Matang dan Selama, Perak kerana kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Sehingga kini, sebanyak 24 kes positif telah direkodkan selepas KKM melakukan 204 saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Papar, Sabah melibatkan Kampung Gusi Kinarut; Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni kerana berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Sehingga kini, sebanyak 15 kes positif direkodkan di Kampung Gusi Kinarut hasil daripada 56 ujian saringan, lapan kes daripada 18 yang disaring di Kampung Tengah Kinarut manakala lima kes lagi di Kampung Benoni selepas 18 penduduk disaring.

“Sementara, PKPD di Bandar Bentong, Pahang melibatkan Kampung Chamang Lama/Baru; Taman Bukit Chamang; Kawasan Perindustrian Bentong; Kampung Baru/Taman Saga/Taman Bukit Indah; Kampung Sungai Marong; Taman Bukit Bentong; Taman Hussin/Taman Syahbandar; Kampung Perting/Kampung Kemansur/Kampung Kuala Repas; Bentong Heights; Rumah Murah Batu 1/PPRT Batu 1; Taman Bentong Makmur ;Taman Harmoni; Taman Kolej dan Taman Desa Damai

“Sejak 17 Mei sehingga 31 Mei 2021, sebanyak 209 kes positif Covid-19 telah dilaporkan sekitar bandar Bentong selepas ujian saringan dijalankan ke atas 914 orang penduduk di situ dan KKM mendapati kadar kebolehjangkitan adalah tinggi manakala kadar positiviti pula direkodkan ialah 22.9%,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan PKPD di dua kampung Mukim Pengkalan Hulu dan 2 kampung Mukim Kerunai, Hulu Perak, Perak.

“Perkampungan tersebut ialah Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar, Mukim Pengkalan Hulu serta Kampung Alai dan Kampung Baharu (sebahagian dari Kampung Lalang) di Mukim Kerunai.

“Manakala, PKPD dilaksanakan Lorong Ulu Sibuga 5 dan 9, Fasa 7 Taman Mawar, Sandakan, serta Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah kerana kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti-lokaliti tersebut.

“Akhir sekali, pelaksanaan PKPD di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, Sabah kerana didapati berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here