Peranan Agong sebagai Ketua Negara meliputi urusan duniawi dan agama

0
1
agama masjid

BERTAKWALAH kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakansegala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

Dalam khutbah Jumaat Khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun ini bertajuk, ‘Tonggak Kedaulatan Negara’ menyeru semua agar terus mematuhi garis panduan dan SOP pencegahan Covid-19 yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.

Masyarakat juga disaran agar segera mendaftar untuk suntikan vaksin Covid-19 kerana inilah antara ikhtiar kita dalam usaha menyekat penularan wabak ini. Mudah-mudahan dengan usaha kita ini akan dapat menyelamatkan kita dari wabak penyakit yang berbahaya ini.

Negara kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Kita amat bersyukur kerana sehingga ke hari ini, negara kita masih lagi mengamalkan sistem pemerintahan ini yang telah mewujudkan kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara meliputi peranan dan tugas dalam urusan dunia mahupun urusan agama.

Imam al-Haramain al-Juwaini pernah berkata – Maksudnya: “Pemimpin utama ialah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.”

Raja-raja Melayu diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pula merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, PulauPinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam isu-isu agama Islam di negara ini menunjukkan bahawa kesucian Islam di negara ini masih terjaga rapi.

Seharusnya, kita sebagai umat Islam juga perlu sama-sama bertanggungjawab menjaga kesucian Islam ini dengan berperilaku sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang-orang bukan Islam.

Imam al-Mawardi dalam Kitab al-Ahkam al-Sultaniyah menjelaskan bahawa ada 10 tanggungjawab Sultan atau pemerintah dalam urusan pentadbiran negara.

Selain menjaga agama dari dicerobohi oleh musuh-musuh Islam, ketua negara berkewajipan dalam memastikan keamanan, kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

Hal ini bertepatan juga dengan perintah Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam Surah al-Nisaa ayat 135 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.

Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Kemajmukan masyarakat menambah keunikan kita sebagai rakyat di negara yang berdaulat. Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai perekat sosial yang mencantumkan keakraban dan kesepaduan antara rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Kita telah menyaksikan sendiri beberapa peristiwa yang menunjukkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap rakyat jelata tanpa mengira kaum.

Baginda sendiri telah mencemar duli untuk menziarahi dan bertanya khabar rakyat apatah lagi apabila ada kalangan rakyat yang ditimpa musibah seperti kemalangan dan bencana alam lain.

Kita juga dapat melihat hubungan yang baik antara kaum di negara ini sebagai natijah pemerintahan yang baik daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam mentadbir masyarakat majmuk di negara kita.

Manakala kita sebagai rakyat pula, perlu bertindak bijak menjaga keharmonian dan perpaduan ini dengan saling membantu, saling melindungi, saling menasihati dan sama-sama memelihara kedaulatan negara ini walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza dari segi agama, bangsa, politik dan ideologi.

Sesungguhnya, peranan Yang di-Pertuan Agong tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya kita sebagai rakyat tidak memberikan kerjasama dan tidak menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai rakyat.

Mengakhiri khutbah ini, beberapa perkara yang khatib ingin tekankan iaitu;

Pertama: Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan nikmat keamanan dan keharmonian di negara kita serta atas kurniaan pemerintahan yang baik di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kedua: Sebagai umat Islam, kita perlu menjaga kesucian dan kedaulatan agama ini dengan melaksanakan syiar Islam dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada semua manusia.

Ketiga: Sebagai rakyat juga, kita bertanggunjawab menyerahkan taat setia kita kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar pentadbiran dan pemerintahan Seri Paduka Baginda dapat dijalankan dengan lancar dan menyeluruh kepada seluruh rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here