Nurul Huda Abhar
SEMANGAT ‘brotherhood’ antara penghantar makanan tidak perlu lagi disangkal, malah sering kali dilihat di media sosial tular video yang menunjukkan kumpulan penghantar makanan akan cepat membantu jika rakan yang lain ditimpa masalah.
Adakah anda ingat dengan video kejadian sebuah kenderaan melanggar lampu merah dan merempuh motosikal seorang penghantar makanan?
Dalam video itu, dapat dilihat penghantar makanan yang lain terus memecut laju mengejar kereta tersebut yang ingin melarikan diri.
Berbeza pula dengan video TikTok @yuazwanjusoh yang pada mulanya ingin menegur santai seorang penghantar makanan sedang mengayuh basikal.
Lain pula yang terjadi apabila pemuda itu meminta tolong membawanya ke Hospital Selayang kerana bapanya sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Bang boleh tolong hantar saya ke Hospital Selayang? Bapa saya msuk hospital. Abang tarik (basikal) je,” pinta pemuda itu.
Menurut @yuazwanjusoh, dia melihat pemuda itu sedang mengayuh basikal dengan laju, dan tidak menyangka bahawa pemuda tersebut sedang mengayuh dari Setapak ke Hospital Selayang.
Jarak perjalanan dari Setapak ke Hospital Selayang adalah lebih kurang 13 kilometer.
“Mari kita doakan ayah brother ini sembuh,” katanya.
Video tersebut dibanjiri pujian netizen yang berbangga dengan semangat saling bantu membantu antara penghantar makanan dan turut mendoakan agar diberi kesembuhan pada bapa pemuda tersebut. – Malaysiapost

