Nurul Huda Abhar
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memaklumkan Malaysia adalah negara demokratik dan kaedah petisyen media sosial tidak boleh diguna pakai bagi mengubah sesuatu perkara dalam kerajaan.
Menurutnya, hanya dengan mengadakan pilihan raya boleh menukar jawatan menteri atau perkara berkaitan dengan kerajaan.
Namun begitu, Ahmad Shabery mempersoalkan tindakan kerajaan yang menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) serta merta berdasarkan petisyen yang dibuat dalam media sosial.
“Kita negara demokratik. Kaedah petition (petisyen) media sosial bukan kaedah Malaysia. Tunggulah pilihan raya kalau nak jatuhkan sesiapa atau nak tukar apa-apa.
“Namun bila kerajaan cepat bertindak terhadap Pengerusi Prasarana selepas ada petition medsos, yang ni pun kena tengok-tengoklah jugak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Shabery juga memuat naik tangkap layar laporan media tempatan bertajuk ‘Selepas sehari hampir 100,000 sudah sertai petition “Azmin letak jawatan”.
Tinjauan Malaysiapost di laman sesawang change.org mendapati petisyen berkenaan berjaya memperoleh sebanyak 104,660 tandatangan setakat jam 11.40 pagi tadi.
Sehingga semalam, keliruan yang disebabkan perubahan arahan daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencetuskan ‘kelam kabut’ kepada orang ramai.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan surat kebenaran beroperasi sepanjang total lockdown 14 hari perlu dipohon kelulusan melalui kementerian yang berkaitan.
Namun tidak sampai 24 jam, MITI pula mengumumkan semua sektor yang ingin beroperasi mesti mendapat surat kebenaran daripada kementerian itu.
MITI dalam kenyataan berkata, surat kebenaran beroperasi bagi sektor-sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 hingga 14 Jun ini perlu dimohon melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselia kementerian itu.
Sehubungan itu sektor-sektor ekonomi berkenaan boleh mengakses portal CIMS 3.0 untuk mendapat surat kelulusan beroperasi sekiranya belum menerima kelulusan untuk beroperasi, melalui pautan notification.miti.gov.my.
Azmin menerusi kenyataan semalam berkata 128,150 syarikat yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara yang berdaftar dengan Intelligent Management System (CIMS) telah diberikan surat kebenaran operasi.
Beliau berkata, setakat 7.30 pagi semalam jumlah itu adalah berdasarkan keseluruhan permohonan 586,308 syarikat dengan 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan CIMS. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Shabery Cheek

