VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyifatkan pelaksanaan proklamasi darurat selama ini gagal membantu negara memerangi pandemik Covid-19.
Beliau berkata, malah sepanjang hampir lima bulan pelaksanaan proklamasi darurat, jumlah kes Covid-19 di negara ini meningkat lebih empat kali ganda berbanding jumlah kes yang direkodkan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya.
“…. jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah sebanyak 138,224 kes pada 11 Januari; meningkat kepada 587,165 kes pada 2 Jun 2021.
“Darurat jenis apakah ini? Mungkin inilah satu-satunya darurat seumpamanya di dunia yang dilihat gagal untuk merubah situasi meruncing dalam negara.
“Malah mendatangkan lebih banyak bencana, sama ada dalam kes kematian atau kes baharu jangkitan wabak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia dan United Kingdom (UK) masing-masing mencipta rekod baharu semalam.
“Malaysia merekodkan 126 angka korban akibat Covid-19 sementara tiada sebarang kematian direkodkan di UK pada Selasa, 1 Jun, hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di negara kita.
“Selama dua bulan setengah, United Kingdom mengekalkan angka kes kematian akibat wabak itu pada paras dua digit, menurun dari kes kematian harian tertinggi pada 20 Januari 2021 dengan 1,823 kes. UK merekodkan angka sifar kes kematian akibat wabak itu buat pertama kali dalam tempoh 10 bulan pada Selasa lalu.
“Namun di Malaysia, angka kes kematian akibat wabak itu kekal pada paras dua digit selama enam minggu berturut-turut dan meningkat kepada tiga digit semalam,” katanya.
Kit Siang menambah, sudah terang lagi bersuluh, perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen, telah melumpuhkan usaha untuk melawan wabak Covid-19 ekoran kegagalan berganda kerajaan
“Pertama, kegagalan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat ekoran pelaksanaan SOP yang caca-marba dan bersifat dwi-standard.
“Kedua, kegagalan untuk menggerakkan mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam peperangan melawan pandemik Covid-19,” katanya.
Menurut Kit Siang, pakar telah memberi amaran bahawa situasi lebih buruk dijangka akan berlaku meskipun sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.
“Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Adeeba Kamarulzaman memberi amaran semalam bahawa satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini memberi amaran bahawa jumlah kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September.
“Anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 2,993 setakat semalam.
“Persoalannya kini, adakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi dan bersedia untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat dengan segera memanggil sidang Parlimen bagi memastikan wujudnya prinsip ‘semak dan imbang’ ke atas segala keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif?,” katanya. – Malaysiapost

