Nurul Huda Abhar
PENGANGKUTAN percuma bagi warga emas atau golongan memerlukan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) antara usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman bagi menggalakkan orang ramai mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Young Syefura atau dikenali sebagai Rara berkata, bermula Mac lalu pihaknya menyediakan bantuan dari segi pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, bertujuan melancarkan proses pendaftaran vaksin.
Menurutnya, bantuan pendaftaran vaksin diperluaskan di seluruh kampung di Ketari, termasuk perkampungan Orang Asli dan Felda.
“Kali ini kita menyediakan pula pengangkutan percuma untuk warga emas atau golongan yang memerlukan dari rumah ke PPV.
“Kawasan Ketari ini luas. Setakat ini PPV ada satu di Bentong, satu lagi di Karak jadi perjalanan agak jauh.
“Oleh itu kami sediakan pengangkutan untuk memudahkan terutama warga emas untuk ke pusat vaksin,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Young Syefura berkata, bantuan beg makanan yang diperkenalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 masih berjalan seperti biasa selain bantuan bagi komuniti setempat semasa tempoh PKP dilaksanakan.
Beliau juga memberitahu khuatir dengan peningkatan kes harian di daerah Bentong, dan terdapat beberapa kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Justeru, bantuan beg makanan juga disalurkan kepada individu yang sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.
“Kita teruskan bantuan dari segi beg makanan untuk mereka yang hilang pendapatan dan perlu kuarantin di rumah.
“Beg makanan itu adalah bantuan makanan asas yang akan dihantar kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang turut menyediakan lampin pakai buang percuma kepada keluarga kurang berkemampuan.
Sementara itu, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan sumbangan dana bantuan gajet bagi pelajar yang menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Katanya, tinjauan yang dibuat semasa turun padang di kawasannya mendapati kebanyakan keluarga mempunyai lebih daripada dua anak yang bersekolah namun ada kekangan gajet untuk sesi PdPR.
“Oleh kerana sekolah masih ditutup dan PdPR dilaksanakan, masih juga kita tidak dapat maklubalas berkenaan bantuan 150,000 komputer riba.
“Sekarang saya sedang usahakan untuk mendapatkan sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan buat masa ini,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

