GABUNGAN Pertubuhan Teksi Kereta Sewa Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) merayu kepada kerajaan agar memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu mereka patuhi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, mengikut SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kami hanya dibenarkan membawa dua orang penumpang termasuk pemandu dalam satu masa.
Menurutnya, bagaimanapun, jika melibatkan urusan perubatan penumpang yang dibenarkan adalah dua orang.
“Tetapi sidang media yang dibuat oleh Ketua Polis Negara pula memberitahu dalam satu masa kenderaan kami dibenarkan membawa tiga orang, iaitu seorang pemandu dan dua orang penumpang.
“Keadaan ini benar-benar telah mewujudkan satu suasana yang haru biru dan menimbukan kekeliruan diseluruh negara. Saya sendiri menerima banyak panggilan daripada pemandu dan persatuan yang bertanyakan tentang perkara ini.
“Sehubungan dengan itu kami ingin merayu kepada kerajaan, tolonglah beritahu kami SOP mana yang harus kami ikut dan patuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarudin berkata, pihaknya ingin memohon kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani agar mengeluarkan arahan yang jelas kepada semua anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).
Jelasnya, sejak pelaksanaan PKP 1.0 pihaknya menerima ribuan aduan daripada ahli di seluruh negara dimana berlaku banyak kekeliruan di SJR
“Anggota Polis yang bertugas seolah-olah tidak jelas SOP sebenar yang dikeluarkan oleh MKN (tidak semua, tetapi banyak),” ujarnya.
MOT dalam satu kenyataan Isnin lalu memaklumkan dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah kenderaan persendirian dalam satu masa tanpa mengira kapasiti.
Kenyataan itu berkata, tiga orang termasuk pemandu dibenarkan bagi tujuan perubatan atau kecemasan.
“Seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera.
“Bagi teksi dan e-hailing, hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau e-hailing dalam satu masa tanpa mengira kapasiti dan penumpang hendaklah duduk di tempat duduk belakang.
“Tiga orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing dalam satu masa bagi tujuan perubatan (seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera) atau bagi tujuan kecemasan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

