MALAYSIA mencatatkan jumlah kematian harian akibat Covid-19 melebihi angka 100 untuk dua hari berturut-turut, apabila 103 kes direkodkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui data dan infografik dikongsi di laman Facebooknya, berkata angka itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian setakat ini adalah 3,096.
Beliau berkata, daripada 103 kes kematian itu 56 daripadanya membabitkan rakyat tempatan dan lapan bukan warganegara.
“Jumlah kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 880 kes dengan 446 pesakit Covid-19 memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Kes baharu ialah 8,209 kes membabitkan 8,145 kes tempatan (7,046 warganegara, 1,099 bukan warganegara) manakala 64 kes import membabitkan 56 warganegara dan lapan warga asing,” katanya.
Beliau berkata, jumlah kes sembuh baharu ialah 7,049 kes menjadikan kumulatif kes sembuh hingga kini adalah 508,947 kes.
“Daripada jumlah keseluruhan 595,374, kes yang masih aktif setakat ini adalah 83,331,” katanya.
Semalam, negara mencatatkan kematian harian tertinggi sejak wabak itu melanda negara dengan 126 kes dilaporkan. – Malaysiapost

