JPV nafi ada individu dijangkiti LSD daripada lembu

0
1

JABATAN Perkhidmatan Veterinar menafikan ada individu dijangkiti kes Lumpy Skin Disease (LSD) atau penyakit kulit kental daripada haiwan ruminan dengan mempunyai gejala di mata seperti ditularkan.

Agensi berkenaan turut menafikan penularan berita bertajuk ‘Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak’.

JPV menjelaskan penyakit berkenaan tidak menjangkiti manusia sebaliknya menyebabkan produktiviti ternakan menurun termasuk kemandulan pada lembu jantan yang berlaku oleh virus Poxviridae disebarkan kepada ternakan lembu melalui gigitan nyamuk dan sengkenit serta rembesan air liur dan hidung lembu dijangkiti.

“Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit adalah nodular (benjolan) kulit di sebahagian atau keseluruhan kulit lembu.

“Tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD dan ternakan lembu yang terjangkit boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, walaupun LSD tidak menyebabkan kematian tinggi namun ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan pada lembu jantan.

Sebelum ini, media Thailand melaporkan lebih daripada 6,700 ekor lembu dan kerbau di 35 wilayah di Thailand terjejas akibat penyakit LSD.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa JPV menghentikan segera mengimport lembu hidup dari Thailand.

Presidennya Mohideen Abdul Kader dipetik berkata langkah menghentikan import lembu harus dilakukan segera memandangkan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dalam tempoh dua bulan- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here