Jangan buat spekulasi – Azmin

0
1

“SIAPA yang buat spekulasi? Jangan buat spekulasi,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulas mengenai hantaran Facebook Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga meminta rakyat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.

Mohamed Azmin berkata, sebagai satu pasukan, beliau bersama jemaah menteri lain sentiasa memberi kerjasama dan sokongan dalam memastikan penularan Covid-19 dapat ditangangi bersama.

“Datuk Seri Ismail Sabri antara ahli jemaah menteri yang telah diberi peranan penting dalam menangani dan menguruskan masalah Covid-19 sejak awal negara kita diserang pandemik ini

“Kita ada dua jurucakap, pertama Ismail Sabri untuk isu keselamatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah untuk isu kesihatan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Media Mengenai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 hari ini.

Mohamed Azmin berkata, semua perkara berjalan dengan baik dan sebagai ahli jemaah menteri beliau memberikan dokongan yang cukup kuat kepada kedua-dua individu itu menggalas tanggungjawab besar dalam menangani dan memerangi Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran Ismail Sabri yang telah menimbulkan spekulasi dan keresahan rakyat.

Jawapan Mohamed Azmin itu sekali gus memberi bayangan tidak timbul isu pertelagahan antara dua pemimpin kanan kerajaan itu.

Semalam, Ismail Sabri memuatnaik satu hantaran di Facebooknya seolah-olah memberi gambaran beliau berdepan kesukaran dalam usaha memastikan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown dikuatkuasakan sebaiknya.

“Saya dah tutup pintu depan tapi…….,” tulisnya sambil memuatnaik sekeping foto beliau sedang menutup pintu di pejabatnya.

Meskipun hantaran tersebut tidak merujuk kepada sesiapa atau menyebut mana-mana keadaan, ia telah mengundang spekulasi kononnya mempunyai kaitan dengan kebenaran operasi diberikan kepada sebahagian besar perkhidmatan perlu dalam sektor perkilangan, meskipun negara kini sedang dalam pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown).

Mengulas lanjut, Azmin menegaskan, sebagai satu pasukan kesemua menteri mengambil keputusan secara kolektif.

“Kami sebagai satu pasukan kita selalu mengambil keputusan secara kolektif…kita juga sentiasa ada dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mesyuarat-mesyuarat lain.

“Ini prinsip yang saya pegang dan saya juga yakin rakan jemaah menteri akan terus berikan dokongan dalam memastikan semua jemaah menteri dapat mainkan peranan secara efektif,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/03/dia-cemburu-dengan-ismail-sabri-nazri-sindir-azmin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here