Buatlah ‘total lockdown’ betul-betul – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengulangi kesilapan dengan melaksanakan ‘total lockdown’ separuh masak.

Beliau berkata, kerajaan perlu sedar situasi Covid-19 negara kini semakin parah dan Malaysia berada di kedudukan 10 teratas membabitkan kes baharu.

Katanya, selain itu, kadar kematian yang dicatatkan di Malaysia dari segi saiz penduduk pada masa ini berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Uniter Kingdom, India serta negara jiran.

“Adakah kerajaan PN masih belum sedar bahawa sebanyak 561 nyawa telah terkorban akibat Covid dalam tempoh 7 hari lepas sahaja?

“Jauh mengatasi jumlah 471 kematian bagi keseluruhan tahun 2020,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Najib berkata, kerajaan perlu laksanakan total lockdown dengan betul bagi membantu petugas barisan hadapan, hospital untuk meredakan situasi Covid-19 dalam tempoh singkat.

“Biar pahit seketika daripada menanggung sakit berterusan. Jangan berkali-kali dibuat separuh masak lagi. Jangan sia-siakan lagi pengorbanan Rakyat.

“Gelombang Covid ini sudah berterusan selama 9 bulan. Berapa lama lagi Rakyat mampu bertahan untuk lihat kesudahan? Selagi rantaian Covid tidak diputuskan, selagi itu rakyat akan terkorban, diseksa dan ekonomi negara tidak dapat pulih,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Najib berkata, sebelum ini beliau pernah meminta kerajaan untuk segera berunding dengan negara AS untuk membeli stok vaksin berlebihan negara itu.

Katanya, gesaan itu dibuat selepas melihat program vaksinasi AS hampir selesai dan negara itu sudah selesa bahawa bekalan vaksin sedia ada sudah cukup untuk rakyat mereka.

“Masa itu, kadar vaksinasi mereka jatuh dari hampir 4 juta dos sehari ke sekitar 2.7 juta dos sehari.

“Dan kadar vaksinasi USA jatuh lagi ke sekitar 1 juta dos sehari semalam walaupun mereka yang mahu menerima vaksin di USA tidak perlu lagi buat temu janji – iaitu tanda jelas bahawa jumlah bekalan stok vaksin berlebihan mereka semakin melimpah,” katanya.

Najib berkata, Isnin lalu, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan bahawa mereka akan edar stok berlebihan sebanyak 80 juta dos (20 juta dos Pfizer/Moderna/Johnson&Johnson dan 60 juta dos Astrazeneca) mengikut kriteria yang akan ditetapkan.

“Dari segi kes baharu dan kematian baharu Covid, Malaysia adalah antara negara paling parah ketika ini dan telah jauh melepasi Amerika Syarikat dan India.

“Sebab itu, saya percaya Malaysia layak untuk diberi prioriti apabila kriteria USA untuk pemberian vaksin diumumkan,” katanya.

Najib berkata, sekiranya hubungan Malaysia dengan AS masih baik, kerajaan sepatutnya berunding dengan negara itu untuk membeli stok vaksin mereka.

“Ia bagi memastikan kadar vaksinasi Malaysia boleh dipercepatkan dan kita mencapai imuniti kelompok untuk bebas Covid secepat mungkin.

“Kita bukan mahu mereka bersedekah pada kita tapi kita mahu membeli pada harga pasaran agar stok segera sampai ke tangan penerima.

“Tak salah untuk cuba. Belum cuba, belum tahu. Jangan hanya beli iPhone dari USA. Kita beli vaksin pula kali ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here