Jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan

0
2
Siti Jumaih Abdul Razak, 38 memegang anaknya, Sheikh Adeeb Aiman Sheikh Salahuddin, 3 yang menangis ketika menjalani ujian saringan Covid-19 di Dewan Seri Siantan Sungai Tua hari ini.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bimbang terhadap situasi penularan kes covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya melibatkan bayi kurang dari setahun dan kanak-kanak di bawah lima tahun.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seperti yang dimaklumkan KKM, sebanyak 82,341 kes Covid-19 telah dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak daripada 25 Januari tahun lalu hingga 30 Mei tahun ini, di mana 19,851 kes membabitkan mereka berusia kurang lima tahun.

Pada masa yang sama, katanya, peratusan tertinggi dilihat adalah dalam kalangan kanak-kanak berusia 13 tahun hingga kurang daripada 18 tahun (33.27 peratus).

“Ini kemungkinan disebabkan kanak-kanak dalam kumpulan umur ini adalah lebih banyak bergerak dan menjalankan aktiviti luar.

“Sama ada mereka sedari atau tidak, ini membawa risiko dijangkiti Covid-19 kepada diri mereka, adik-beradik dan juga ahli keluarga yang lain terutama jika mereka tidak mengikut nasihat yang telah diberikan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan segala maklumat yang diberikan mengenai isu ini dapat menyedarkan semua pihak, khususnya ibu bapa dan penjaga mengenai situasi penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

“Ibu bapa adalah berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak. Mereka perlu mengambil tindakan proaktif untuk melindungi kanak-kanak agar tidak terdedah kepada bahaya Covid-19.

“Semua pihak khususnya ibu bapa diseru untuk mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak ini memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka yang belum matang,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, kanak-kanak cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2 dan kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Justeru, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin.

“Melalui cara ini, persekitaran yang lebih selamat dapat sama-sama kita bina bagi kelestarian generasi masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here