Guru tuisyen, suri rumah didakwa sebar berita palsu berkaitan Covid-19

0
1
grafik

GURU tuisyen dan suri rumah masing-masing didakwa atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 hari ini.

Kedua-duanya dilaporkan antara individu terawal didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 kerana menyebarkan berita tidak benar berkaitan Covid-19, lapor Berita Harian.

Di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, guru tuisyen Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Dia didakwa menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai dengan mengadakan penerbitan mengandungi berita tidak benar.

Tertuduh didakwa memuat naik sekeping gambar dengan kapsyen berkaitan vaksinasi Covid-19, ke akaun Facebook menggunakan profil ‘Mohd Nazaruddin Yusoff’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, kira-kira jam 11.50 pagi 21 April lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya maksimum RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai depan.

Di Mahkamah Sesyen Kangar, suri rumah, Norjannah Rusli, 28, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar berkenaan penularan jangkitan Covid-19 menerusi aplikasi media sosial di Arau, April lalu.

Dia membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan aplikasi status WhatsApp melalui nombor talian yang didaftarkan kepada tertuduh dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 8664, Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau jam 10.31 pagi pada 18 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan dibantu Siti hajar Che Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 20 April lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis berhubung penularan berita di media sosial mendakwa sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka positif Covid-19.

Pengarahnya, Naharudeen Othman, berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan setelah siasatan dilakukan hanya seorang sahaja yang disahkan positif.

Penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here