“KEMENTERIAN Kewangan mempunyai kuasa yang sangat besar, gunakanlah untuk membela nasib rakyat,” kata Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendakwa kerajaan tidak mempunyai kuasa mengawal bank untuk melaksanakan moratorium automatik.
Zahida berkata, hakikatnya Menteri Kewangan mempunyai kuasa besar apatah lagi dalam tempoh pengistiharan darurat ketika ini.
“Gunakanlah kuasa yang beliau ada untuk membela kehidupan rakyat pula. Tiada Bank yang akan rugi, kerana, walaupun moratorium diberi, hutang ini tetap terakru dalam akaun pinjaman.
“Lihatlah pengumuman akaun Bank-bank yang merekodkan untung berlipat kali ganda. Bank-bank perlu bersabar sedikit,” katanya menerusi Facebook.
Zahida berkata, sebelum ini beliau telah meminta kerajaan menimbangkan untuk membincangkan bersama institusi perbankan bagi memberi moratorium kepada semua yang memerlukan bukan sahaja golongan B40.
Bagaimanapun, katanya, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa institusi perbankan berkenaan bukan di bawah kawalan kerajaan.
“Saya ingin bertanya, Bank-bank ini di bawah kawalan siapa? Bank Negara Malaysia (BNM) bukankah agensi kerajaan? Jika moratorium boleh diberi kepada B40, mengapa ianya tidak dapat dipanjangkan kepada keseluruhan rakyat yang memerlukannya?
“Janganlah memberi alasan yang sangat dangkal ini atau untuk melepaskan batuk di tangga sahaja,” katanya.
Zahida berkata, beliau faham bahawa Tengku Zafrul ‘datang dari’ kalangan perbankan tapi beliau berharap Menteri Kewangan berkenaan turut memikirkan masalah rakyat.
“Fikir-fikirlah permasalahan rakyat sekarang ini yang telah terjejas teruk sejak pelbagai PKP dibebankan keatas rakyat lebih setahun lalu.
“Saya tidak mahu mempersoalkan keperluan untuk melindungi nyawa rakyat, namun kehidupan mereka juga harus disantuni,” katanya.
Beliau berharap Kementerian Kewangan dapat membantu rakyat dengan pemberian moratorium bagi kelangsungan hidup mereka sepanjang sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.
“Tolonglah rakyat dengan tanpa berbelanja berbillion duit kerajaan tapi tetap mendapat aspirasi rakyat. Hanya guna kuasa yang beliau ada. Susah sangat kah?,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata, pelaksanaan moratorium pinjaman ‘total’ dalam bantuan ekonomi terbaru bernilai RM40 bilion yang dilancarkan semalam telah dipersetujui oleh bank dalam perbincangan mereka dengan Bank Negara Malaysia.
“Anda kena faham kerajaan tidak mengawal atau memiliki bank, betul tak?.
“Ini perbincangan antara Bank Negara dan bank-bank. Kami tidak memiliki kemampuan undang-undang untuk memaksa bank melakukan (apa yang kami mahukan).
“Bawah Pemerkasa Plus, kami memberikan moratorium pinjaman automatik kepada golongan B40. Jika mereka layak, mereka dapat memperolehnya,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/01/moratorium-kuasa-bank-negara-menteri-kewangan-besar-najib/

