Polis selamatkan 5 kanak-kanak mangsa eksploitasi tenaga buruh

0
1
Polis Di Raja Malaysia

LIMA kanak-kanak dan remaja berusia lapan hingga 17 tahun yang dipercayai hampir empat tahun menjadi mangsa pemerdagangan dan eksploitasi tenaga buruh, diselamatkan dalam serbuan polis di sebuah rumah Taman Bukit Seputeh, Kuala Lumpur, semalam.

Serbuan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields turut menahan dua suspek yang dipercayai memaksa mangsa melakukan kerja rumah serta turut memukul mangsa jika enggan mengikut arahan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian terbabit pada jam 4.10 petang semalam daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang berjaya melarikan diri dari rumah berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati remaja terbabit bersama 16 lagi kanak-kanak dari rumah anak yatim di Kulim, Kedah dibawa dua suspek ke rumah berkenaan sejak 2017 dan dipercayai dipaksa melakukan kerja rumah sepanjang hari.

“Seramai 14 daripada kanak-kanak terbabit telah melarikan diri disebabkan tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul jika tidak mengikut arahan.

“Suspek dalam kes ini adalah lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 54 tahun.

“Remaja berusia 18 tahun berkenaan berjaya melarikan diri kira-kira jam 10 pagi semalam dan datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, rentetan daripada itu pihaknya menjalankan serbuan ke rumah terbabit dan menyelamatkan lima kanak-kanak yang dipercaya menjadi mangsa pemerdagangan orang.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan orang 2007 dibawah kesalahan pemerdagangan kanak-kanak.

“Polis Brickfields mengingatkan mana-mana badan kebajikan, individu atau pertubuhan supaya tidak melakukan eksploitasi terhadap kanak-kanak dalam apa jua cara terutama menjalankan aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan hak asasi kanak-kanak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here